Projek sakit SMK Bandar Putra Bertam dijangka siap hujung tahun ini - Reezal Merican

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 21, 2022 18:06 MYT
Reezal Merican (dua kiri) sewaktu meninjau tapak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Putra di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. - Foto Astro AWANI
KEPALA BATAS: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Putra di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang antara dua projek sakit di negeri berkenaan yang akan dipulihkan semula tahun ini.
Ia susulan lawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Bahagian Pembangunan Negeri Pulau Pinang ke tapak projek sekolah tersebut pada Ahad.
Reezal yang ditemui selepas meninjau tapak projek sekolah tersebut memaklumkan, ketika ini terdapat empat projek lewat siap dan dua projek sakit di Pulau Pinang termasuk SMK Bertam Putra.
"Sekolah ini telah mengalami kelewatan hampir dua tahun. Sepatutnya disiapkan pada 20 April 2020 namun telah mengalami kelewatan dan saya ambil kesempatan ini (tinjau projek) kerana ini adalah sebahagian tanggungjawab saya sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan.
"Di mana dalam tempoh RMK ke-12 ini ini Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM9.7 bilion untuk disalurkan ke negeri Pulau Pinang dan daripada jumlah tersebut 199 projek yang diperuntukkan itu, 93 adalah projek sambungan manakala 106 adalah projek-projek baharu.
"Maka adalah amat penting untuk kita melihat pembangunan dan juga progres berjalan dengan lancar," katanya.
Projek SMK Bertam Putra yang bermula empat tahun lalu membabitkan kos RM37 juta mencapai tahap 85.9 peratus siap sebelum pembinaannya terhenti dua tahun lalu susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19.
Pada masa sama, kontraktor yang bertanggungjawab membina sekolah tersebut turut memberi alasan kekangan pekerja serta kenaikan harga bahan binaan menyebabkan ia tidak dapat disiapkan mengikut tempoh.
Reezal berkata, ketika ini negara sudah memasuki fasa pemulihan dan tiada sebab SMK Bertam Putra tidak dapat disiapkan malah, lebih banyak masalah akan timbul jika ia gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Tambahan pula, Pulau Pinang menduduki tempat kedua selepas Selangor dari segi peratus perbelanjaan peruntukan Persekutuan dan tidak sewajarnya berlaku kelewatan menyiapkan projek.
"Saya dah beri deadline kepada kontraktor untuk minta supaya disiapkan pada tempoh-tempoh yang saya ingin lihat ia disiapkan sebab kalau kita lihat setiap kali berlaku kelewatan institusi pendidikan seperti sekolah ini ia akan memberi tekanan yang kuat kepada pembangunan modal insan setempat," katanya lagi.
Tegas Reezal, pemantauan akan terus dilakukan KPM dan Bahagian Pembangunan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan SMK Bertam Putra dapat disiapkan hujung tahun ini.
#projek sakit #Reezal Merican Naina Merican #Kepala Batas #SMK Bertam Putra
;