Projek rumah 'sakit': KPKT tubuh jawatankuasa cari penyelesaian 381 projek terbengkalai

Ridauddin Daud
Disember 30, 2022 17:03 MYT
Menurut Kor Ming, bagi merealisasikan hasrat rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri, KPKT akan membina sejumlah 83,728 rumah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi mencari penyelesaian terhadap 381 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai ‘sakit’.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, KPKT memandang serius terhadap projek perumahan kategori sakit atau terbengkalai dan jawatankuasa itu ditubuhkan bagi melindungi hak dan kepentingan pembeli rumah.
“Pembangunan perumahan merupakan salah satu sektor yang penting dalam menjana ekonomi negara di mana hampir 200 industri terlibat.
“Justeru, KPKT berharap industri perumahan akan terus berkembang maju pada tahun 2023 dan KPKT akan melancarkan lebih banyak rumah mampu milik yang berkualiti tinggi.
“Ia adalah bagi memastikan rakyat dapat memiliki rumah yang selesa dan berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Projek Rumah Sakit | Beberapa pemaju diberi pengecualian
Tambah beliau, bagi merealisasikan hasrat rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri, KPKT akan membina sejumlah 83,728 rumah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 22,209 rumah telah siap dibina, 47,637 unit dalam pembinaan dan baki 13,882 unit akan disiapkan menjelang akhir tahun 2025.
“Bergerak ke hadapan, khususnya dalam pembinaan dan perancangan bandar, KPKT akan memberi fokus kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap pihak swasta dapat bekerjasama secara aktif dengan kerajaan untuk membina lebih banyak ruang hijau dan menggunakan gaya reka bentuk yang mesra alam dalam projek pembinaan.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Teluk Intan itu memaklumkan kerajaan telah menjemput Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB) untuk berkongsi kepakaran dan berkongsi pengalaman berhubung isu perumahan.
Jelasnya, usaha itu adalah bagi memantapkan lagi pembinaan perumahan awam di Malaysia.
“Saya percaya ini akan membantu meningkatkan tahap perancangan bandar di Malaysia dan bukan sahaja dapat membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri tetapi juga mewujudkan rumah tangga bahagia dan sejahtera melalui kaedah yang inovatif,” katanya lagi.
#Nga Kor Ming #KPKT #rumah sakit #projek perumahan #PM10
;