Projek Rumah Idaman tumpu solusi pemilikan rumah mampu milik

Madiha Abdullah
April 5, 2019 09:00 MYT
Sebanyak 2,059 unit rumah akan dibangunkan di Kajang menerusi projek ini. - Astro AWANI
Projek perumahan Idaman Solusi Pemilikan Kediaman Terunggul oleh kerajaan negeri Selangor mensasarkan untuk memenuhi kehendak permintaan tinggi masyarakat terhadap rumah mampu milik.
Projek yang membabitkan 2,059 unit rumah dalam siri pertamanya di Kajang ini akan menumpukan kepada memberi kemudahan kepada proses pemilikan rumah.
"Satu, kita tambah baik ciri-cirinya dengan meletakkan beberapa aspek tambahan, contohnya, perabot dan saiz rumah itu kena sesuai untuk average keluarga di Selangor.
"Kedua, pembiayaan adalah antara institusi kewangan dan kerajaan negeri. Jadi dua aspek ini apabila digabungkan kita harap ia akan jadi solusi yang memudahkan bakal pembeli," kata Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Soffan Affendi Aminudin.
Projek berkenaan diharap dapat merancakkan lagi pembangunan perumahan seumpama itu, namun tidak bermakna ia akan menjadi persaingan kepada pemaju swasta.
"Projek ini khusus untuk mereka yang gajinya di bawah RM10,000 bagi kedua-dua suami dan isteri. Untuk dapat rumah dengan gaji sebegitu agak mencabar. Pihak bank juga sukar meluluskan pembiayaan untuk rumah harga pasaran bebas.
"Jadi, tidak timbul soal persaingan kerana fungsi kita adalah untuk accelerate atau merancakkan lagi pembinaan rumah mampu milik," tambah Soffan.
Pendapat sama diluahkan oleh Naib Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Zulkifly Garib.
"Ia satu perkara yang bagus sebab buat masa sekarang cuma ada skim Rumah Selangorku. Rumah Idaman ini harganya berlainan, tetapi masih dalam kumpulan harga rumah mampu milik.
"Jadi ia hanya memperluaskan bekalan rumah mampu milik," katanya.
Projek Perumahan Idaman yang disasarkan untuk dibina sebanyak 30,000 unit, akan dijual dengan harga RM250,000 dan ke bawah.
Ia akan dirasmikan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, esok.
#Kajang #MBI Intergrated #Projek Rumah Idaman #rumah mampu milik #Selangor #Soffan Affendi Aminudin #Zulkifly Garib
;