Projek RTS antara yang akan dibincangkan bersama Singapura - Zambry
Ridauddin Daud
Januari 29, 2023 13:45 MYT
Januari 29, 2023 13:45 MYT
SINGAPURA: Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang akan menghubungkan Johor ke Singapura akan menjadi antara topik perbincangan sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura pada Isnin.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, projek itu mustahak untuk dibincangkan kerana ia dijangka siap dalam tempoh lima ke enam bulan akan datang.
Selain itu, menurut Zambry, perkara berkaitan infrastruktur dan cadangan pembinaan projek infra baharu juga dijangka dibangkitkan dalam pertemuan Anwar bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
"Perbincangan melibatkan perjanjian sedia ada, yang itu akan jadi keutamaan perbincangan pemimpin. Ia juga mungkin melibatkan hal-hal lain dan cadangan masa depan.
"Mungkin ada cadangan dari Singapura dan Malaysia untuk perkara yang boleh dirunding semula tapi ia tertakluk kepada Perdana Menteri dan perbincangan beliau.
"Saya tak boleh kata secara pasti samada ia akan dibincang atau tidak. Dalam hal Kementerian Pengangkutan, yang paling mustahak, RTS ini jadi keutamaan dan ia dijangka siap dalam tempoh lima ke enam bulan," katanya.
Menurutnya, projek itu akan memberi kesan baik terutamanya dalam aspek pergerakan dari Malaysia ke Singapura yang tidak begitu lancar sekarang.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama petugas media Malaysia ketika beliau tiba di Singapura sempena lawatan sehari Perdana Menteri ke negara tersebut.
Selain daripada pertemuan empat mata Anwar dan Hsien Loong, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) juga akan dimeterai dalam lawatan kerja berkenaan.
"Saya juga ingin maklumkan kepada media, komitmen Perdana Menteri, melihat setiap perkara yang selama ini jadi masalah dan halangan untuk lambatkan proses menandatangani, akan dicuba selesaikan dengan segera.
"Itulah mesej yang dibawa ke Brunei dan Singapura. Perdana Menteri akan selesaikan perkara-perkara yang sudah tertunggak begitu lama," ujarnya.
Perdana Menteri, akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura pada Isnin atas jemputan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, lawatan itu merupakan lawatan rasmi sulung beliau ke republik itu selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Anwar juga dijadual untuk mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura.
Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Delegasi juga akan disertai oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bersama pegawai kerajaan yang berkaitan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan turut menyertai delegasi tersebut.