Projek RTB di Melaka tiada yang terbengkalai - Sulaiman
Bernama
Mac 9, 2023 15:46 MYT
Mac 9, 2023 15:46 MYT
MELAKA: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang telah diluluskan di Melaka termasuk di Sungai Rambai, sedang dilaksanakan dan tidak timbul sebarang isu mana-mana projek tersebut terbengkalai," kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata semua projek berkenaan berjalan mengikut kemajuan bagi mengatasi masalah banjir, namun terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan bersama antara Melaka dan Johor seperti persempadanan negeri.
"Semua projek RTB telah diluluskan dan sudah mula dilaksanakan seperti Projek RTB Alor Gajah, RTB Sungai Duyong, RTB Jasin, RTB Merlimau dan Projek Menaik Taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal.
"Namun banjir yang sedang melanda di Jasin terutamanya di Sungai Rambai ini melibatkan air Sungai Kesang yang mengalir di kedua-dua negeri yang berjiran dan sekiranya perkara itu dapat diselesaikan sudah tentu projek RTB tersebut dapat berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu Sulaiman merasmikan Program Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (Japerun) Pengkalan Batu dan turut dihadiri Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Kalsom Noordin.
Hari ini media melaporkan lebih 5,000 penduduk khususnya di 13 kawasan sekitar Sungai Rambai merayu kerajaan meneruskan semula projek Rancangan Tebatan Banjir, (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang yang didakwa terbengkalai sejak enam tahun lalu.
Laporan itu menyatakan kegagalan kerajaan meneruskan projek yang 40 peratus siap dan terbiar sejak 2017 itu, menjadi punca lebih banyak kawasan terjejas banjir kali ini berbanding sebelumnya.
Dalam pada itu Sulaiman berkata semua semua jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan diminta untuk menyelesaikan aduan yang diterima daripada rakyat dengan segera.
Beliau berkata kebanyakkan aduan diterima dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hari hingga satu bulan bergantung kepada keupayaan 15 agensi kerajaan yang menghadiri program Hari Bertemu Rakyat itu.
"Seperti hari ini kita saya menerima 35 daripada 150 aduan yang dikemukakan orang ramai berkaitan masalah seperti perparitan, perumahan selain pemaju projek perumahan tidak ikut peraturan," katanya.
-- BERNAMA