Projek River of Life dipertingkat pada kos minimum - Khalid Samad
Rahimah Abdullah
Januari 11, 2019 16:08 MYT
Januari 11, 2019 16:08 MYT
Kementerian Wilayah Persekutuan akan meneruskan projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) bagi memastikan kebersihan sungai di ibu kota.
Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata pihaknya akan mempertingkatkan pelaksanaannya berbanding perancangan asal projek berkenaan ketika kepimpinan kerajaan terdahulu.
“Kita akan teruskan Projek River of Life sebab dia (Datuk Seri Najib) cakap dia usahakan. Kita kena teruskan sebab RM3 bilion sudah digunakan.
"Kalau boleh kita mahu buat lebih daripada apa yang mahu dilaksanakan,” katanya semasa Bicara Minda bersama Khalid Abdul Samad anjuran Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, kerajaan akan memastikan ia dilaksanakan pada kos yang minimum.
“Punca (pencemaran) adalah dari hulu sungai, itu yang nak dibersihkan kerana kumbahan, sampah, bahan kimia, dan pelan kumbahan baharu.
"Kita akan terus mempertingkatkan lagi dengan kos minimum,” katanya lagi.
Malah, ujar beliau, usaha berkenaan akan disokong dengan kempen penggunaan plastik biodegrasi yang mengurangkan ancaman kepada alam sekitar terutama sungai.
Pada masa sama, RoL dapat menghidupkan semula sejarah Kuala Lumpur.
“RoL adalah antara yang menarik sebab ia menghidupkan Masjid Jamek sebab ia penting sejarahnya bagi KL.
"Ia akan jadikan KL mempunyai imej yang ada hubung kait yang rapat dengan sejarah. Masjid simbolik kedudukan Islam di negara,” ujar beliau.
Projek RoL dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020.
Sebelum ini, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengilhamkan RoL turun melawat ke projek berkenaan.
Antara lain, beliau berharap kerajaan akan meneruskan projek RoL yang turut disenaraikan antara 10 kawasan pesisir air tercantik di dunia oleh sebuah portal berita bebas di United Kingdom.