Projek rintis Pulau Langkawi tidak boleh gagal
Hakim Rahman
September 15, 2021 11:47 MYT
September 15, 2021 11:47 MYT
KUALA LUMPUR: Program rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi tidak boleh gagal kerana pengusaha pelancongan telah mengeluarkan kos tinggi untuk memulakan perniagaan setelah lama tidak beroperasi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainuddin Kadir, para pengusaha pelancongan bagaimanapun telah belajar daripada kesilapan lalu dan memperbaiki aspek pengurusan pelancong.
Katanya pengiat pelancongan telah diberi pendedahan melalui pelbagai kursus pengurusan yang dijalankan oleh pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kita juga telah mengarahkan pemilik-pemilik produk untuk menghadkan jumlah pelancong yang memasuki Pulau Langkawi dengan membuat tempahan awal secara dalam talian.
"Ini dilakukan agar tidak berlaku kesesakkan apabila kita membuka semula sektor pelancongan," katanya ketika ditemubual dalam program Awani Pagi pada Rabu.
Tambah Zainuddin, kejayaan projek rintis pelancongan ini akan membuka jalan kepada lokasi pelancongan lain untuk dibuka tetapi ia juga memerlukan kerjasama baik para pengunjung dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Mengulas lanjut Zainuddin berkata para pengusaha pelancongan di langkawi telah mengeluarkan modal awal yang besar sebagai persiapan menerima pelancong seperti untuk sanitasi dan menyelenggara peralatan.
Malah mereka juga masih mengekalkan harga pakej-pakej pelancongan seperti sebelum ini.
Justeru beliau berharap pengusaha dan pelancong dapat memberikan kerjasama dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan.