Projek rintis di Langkawi bakal memberikan impak positif kepada penggiat pelancongan - MITA
Eton Khir
September 3, 2021 16:06 MYT
September 3, 2021 16:06 MYT
KUALA LUMPUR: Industri pelancongan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembukaan sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelancongan bermula 16 September ini.
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata inisiatif menjadikan Langkawi sebagai projek rintis itu bakal memberikan impak positif kepada penggiat pelancongan yang telah lama kehilangan pendapatan susulan pandemik COVID-19.
Tambahnya lagi, projek rintis ini akan dilaksanakan berdasarkan syarat ditetapkan, bagi membolehkan pelan pemulihan pelancongan dilaksanakan secepat mungkin.
"Kami di industri pelancongan harus bertangungjawab mengadaptasi, untuk mematuhi dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Ini kerana, kita tidak mahu lagi berhadapan dengan kluster-kluster baharu bagi sektor pelancongan ini. Makanya, kerana itu pentingnya pematuhan SOP ini dan kami harus memastikan ianya berjalan lancar," katanya kepada Astro AWANI.
Di samping itu, Uzaidi berkata projek rintis di Langkawi itu juga digunakan sebagai pemangkin kepada industri pelancongan lain sebelum dibuka pada masa akan datang.
Ujar Uzaidi lagi, pelbagai inisiatif terutamanya dari sudut digitalisasi perlu diterapkan pengamal industri.
"Ini melibatkan penggunaan sistem yang tepat dan bersistematik. Dimana, sistem ini dilaksanakan bagi mengurangkan kontak fizikal, contohnya dengan menempah tiket feri, kereta kabel ataupun rumah penginapan secara dalam talian," katanya lagi.
Uzaidi turut menegaskan, dengan langkah tersebut operasi penggiat industri pelancongan bukan sahaja boleh berjalan dengan lancar namun dalam masa sama dapat mengurangkan kontak fizikal dan risiko dijangkiti oleh COVID-19.
Kerajaan pada Khamis bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan dalam masa terdekat, dengan Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 September.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun pembukaan sektor itu berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.