Projek rintis bas elektrik di Kota Kinabalu dijangka mula pertengahan tahun ini

Bernama
April 10, 2021 05:21 MYT
Sekitar majlis menandatangani MoU WHS dengan tiga syarikat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di Kota Kinabalu, pada Sabtu. - Foto Twitter Bernama.com
KOTA KINABALU: Warisan Harta Sabah Sdn Bhd (WHS) dijadual memulakan projek rintis bas elektrik di sekitar ibu negeri ini selama enam bulan pada pertengahan tahun ini.
Pengarah Eksekutif WHS Mohd Shukor Abdul Mumin berkata di bawah projek itu, WHS yang juga cabang pelaburan Kerajaan Negeri Sabah, dijangka menerima 100 hingga 200 unit bas elektrik tersebut.
Pada masa sama, beliau menggesa agar pengusaha bas sedia ada tidak berasa bimbang kerana perkhidmatan bas elektrik tersebut tidak menjejaskan pendapatan mereka, sebaliknya turut memberi faedah kepada mereka.
"Kita akan jelaskan bahawa pendapatan mereka tidak akan berkurangan, malah bertambah. Apa yang kita mahu adalah mengurangkan kesesakan dan pencemaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) WHS dengan tiga syarikat -- Gemilang Coachworks Sdn Bhd (GML) yang juga pengeluar bas elektrik, EPost dan Go Auto Group di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, pada Sabtu.
Pada majlis disaksikan oleh Pengerusi WHS, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, WHS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Rizal Dahli manakala GML diwakili Pengarah Urusan Pang Chong Yong, Epost oleh Pengarah Urusan Tobin Ng bersama Ketua Pegawai Operasi Mandy Chan dan Go Auto Group diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya Datuk SM Azli Nasimuddin Kamal dan Pengarah Eksekutif Farok Maasom.
Mohd Shukor berkata, MoU tersebut adalah di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta dan sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.
Kerjasama dengan Epost melibatkan WHS mewujudkan pembelian produk tempatan kendalian Kojasa Mart secara dalam talian yang menawarkan harga lebih rendah selain produk berkualiti.
"Ia (harga) adalah kira-kira lima peratus hingga 10 peratus lebih rendah daripada pasaran selain mengurangkan penglibatan orang tengah yang menjadi punca harga sukar diturunkan," katanya.
Menurutnya, kemudahan gudang Kojasa Mart terdapat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) manakala outlet di Inanam serta daerah lain termasuk Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.
Bagi kerjasama dengan Go Auto Group, Mohd Shukor berkata syarikat terbabit akan mengeluarkan dana manakala WHS menyediakan prasarana termasuk keperluan membabitkan bidang logistik.
Malah, WHS kini dalam proses mencari lokasi sesuai seluas kira-kira 20.234 hektar bagi operasi Go Auto dan mengurangkan kos logistik selain menyediakan peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.
-- BERNAMA
#bas elektrik #projek rintis #Warisan Harta Sabah #WHS #Kota Kinabalu #kerajaan negeri Sabah #pengusaha bas #Mohd Shukor Abdul Mumin #Kojasa Mart #Go Auto Group #EPost
;