Projek Pulau Pinang Selatan hanya dilulus jika penuhi syarat ketat EIA - Nik Nazmi

Bernama
Mac 12, 2023 16:23 MYT
Nik Nazmi berkata keputusan JAS yang menolak laporan EIA PSI sebelum ini membuktikan projek itu tidak mendapat layanan khas. - Gambar fail
BATU KAWAN: Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) hanya akan diluluskan jika memenuhi syarat ketat Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata keputusan Jabatan Alam sekitar (JAS) yang menolak laporan EIA PSI sebelum ini membuktikan projek itu tidak mendapat layanan khas walaupun disokong oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
"Projek PSI itu telah melalui proses yang komprehensif dari segi laporan EIA dan mengambil kira laporan EIA pertama diluluskan pada 25 Jun 2019 sebelum berlaku rayuan dan EIA itu dibatalkan, seterusnya EIA baharu dikemukakan pada 29 April tahun lepas.
"Apabila JAS tidak bersetuju dengan beberapa perkara dalam EIA itu, tiga lagi serahan dibuat iaitu pada Ogos dan Oktober tahun lepas dan yang terbaharu pada 18 Januari lalu, yang mana ia masih berada dalam penilaian JAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Alam Kita di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini hari ini.
Beliau perkara proses tersebut dilakukan secara lengkap dan terperinci dan laporan EIA terkini akan diteliti oleh JAS dalam tempoh beberapa bulan sebelum dimuktamadkan sama ada PSI diluluskan atau sebaliknya.
Katanya sebarang isu berbangkit akan dikemukakan kepada penggerak projek dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang.
"Pihak pemaju juga perlu menyediakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar dan mengambil tindakan terhadap syor-syor yang dinyatakan dalam laporan EIA sekiranya projek ini diluluskan bagi memastikan kesan dan akibat sesebuah projek dapat diatasi," katanya.
PSI merupakan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan kira-kira 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas, namun projek itu mendapat bantahan komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut.
Sementara itu, mengulas mengenai keputusan kerajaan menamatkan enam projek tebatan banjir (RTB) yang akan dilaksanakan secara tender terbuka, Nik Nazmi berkata ia bagi mencapai harga yang lebih rendah menerusi lebih banyak bidaan.
Sebelum ini bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan rasional penamatan RTB yang diumumkan sebagai langkah penjimatan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana projek yang ditamatkan itu sebenarnya belum bermula dan ada antaranya masih dalam proses rundingan.
-- BERNAMA
#Nik Nazmi Ahmad #Projek Pulau Pinang Selatan #laporan EIA #JAS
;