Projek PSI: Kerajaan sedia dengar keluhan, bantahan nelayan - PM Anwar

Bernama
April 28, 2023 16:02 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama para jemaah selepas beliau selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedia mendengar sebarang keluhan atau bantahan daripada nelayan tempatan berhubung projek Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).
"Kalau mereka mahu kemukakan bantahan kita akan dengar dan kerajaan negeri juga akan berikan penjelasan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jaminul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Perdana Menteri menegaskan projek PSI itu pada masa ini menerima kelulusan bersyarat daripada Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
"EIA meluluskan pada prinsipnya dengan 71 syarat. Jadi kita telitilah. Saya dah kemukakan beberapa kebimbangan terutama (bagi) pihak nelayan dan penduduk setempat yang berbilang kaum dan biarkan proses ini berjalan," katanya.
Sebelum ini Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) melahirkan rasa kecewa dan mendakwa usaha mereka untuk berjumpa Perdana Menteri bagi membincangkan isu PSI 'tidak dilayan'.
Projek penambakan laut secara besar-besaran itu mendapat bantahan nelayan tempatan di situ yang mendakwa bakal terjejas sumber pendapatan dan hasil laut mereka.
Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan PSI mendapat kelulusan EIA daripada JAS Putrajaya bertarikh 11 April lepas, dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.
Chow berkata laporan EIA yang diluluskan itu akan dimuat naik dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation (PIC) untuk bacaan umum.
PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.
-- BERNAMA
#Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang #Anwar Ibrahim #bantahan nelayan #EIA
;