Projek PSI bermula selepas EMP diluluskan - KM Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
April 29, 2023 17:05 MYT
April 29, 2023 17:05 MYT
GEORGE TOWN: Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) di Pulau Pinang hanya akan dimulakan selepas Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kelulusan itu kelak bagi membolehkan projek berkenaan dimulakan pada suku ketiga tahun ini.
Beliau menjangkakan tempoh dua bulan diperlukan untuk EMP diluluskan berbanding kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum ini.
"EMP dijangka tidak akan mengambil masa panjang seperti EIA dan ianya diuruskan oleh peringkat negeri, maka mengikut amalan biasa ia boleh diluluskan dalam masa mungkin dua bulan," katanya.
Bagaimanapun katanya, sekiranya JAS merasakan EMP yang dikemukakan tidak lengkap dan perlu ditambah baik maka kerajaan negeri bersedia melalui segala proses yang diperlukan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan kesemua 71 syarat yang ditetapkan dipatuhi bagi melancarkan proses kelulusan EMP.
"Kita akan minta pakar kaji dan letakkan bagaimana kita nak tunaikan syarat itu, maka apa yang terkandung dalam 71 syarat itu sebenarnya bukan perkara baharu, ia sudah dirundingkan di peringkat teknikal tetapi perlu dipatuhi dan EMP adalah untuk memberi komitmen ini akan dipatuhi melalui mana-mana kaedah," katanya lagi.
Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Santai Aidilfitri Parlimen Batu Kawan di Gelanggang Bola Keranjang Taman Tangling, pada Sabtu.
Terdahulu, projek bernilai RM11 bilion itu mendapat kelulusan EIA daripada JAS, namun perlu mematuhi 71 syarat yang ditetapkan.
Projek kontroversi itu melalui proses komprehensif berhubung laporan EIA yang diluluskan pada 25 Jun 2019, tetapi terdapat rayuan sehingga keputusan itu dibatalkan. Laporan baharu diserahkan pada 29 April 2022.
PSI membabitkan penambakan laut secara besar-besaran, termasuk pembinaan tiga pulau buatan dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut dekat Bayan Lepas yang ia adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.