Projek pertanian, pemakanan libatkan 1,000 ekar tanah akan diumum Julai - Rafizi
Ridauddin Daud
Jun 28, 2023 14:36 MYT
Jun 28, 2023 14:36 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi akan mengumumkan projek pertanian dan pemakanan melibatkan 1,000 ekar tanah pertama di bawah Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) pada bulan depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan dilaksanakan di seluruh negara.
Menurutnya, fasa pertama itu telah mengenal pasti rakan strategik dari kalangan agensi pertanian kerajaan dan agensi kerajaan negeri yang akan mengusahakannya.
Tambah beliau, berdasarkan nisbah suku atau setengah ekar untuk seorang penerima, inisiatif itu dijangka memanfaatkan kira-kira 4,000 penerima.
"Selepas kenal pasti, kita kerjasama pula dengan agensi pelaksana untuk fasa 1,000 ekar pertama ini. Untuk yang pertama ini, kita fokus kepada agensi awam terlebih dahulu.
"Usaha kita bukan macam dulu, minta orang ramai cucuk tanam atan beri bantuan awal sahaja tapi ia melibatkan pembinaan keseluruhan infrastruktur pertanian, cari dana, bersih tanah, bina infrastruktur.
"Agensi pelaksana akan melatih, menguruskan rakyat dari kalangan B40 dan miskin tegar yang menyertai program ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) Mei 2023 di bangunan Kementerian Ekonomi di Putrajaya pada Rabu.
Tambah beliau, Kementerian Ekonomi juga akan membuka permohonan dari syarikat-syarikat pertanian swasta untuk menjadi rakan strategik di bawah INTAN bagi inisiatif yang seterusnya.
"Maklumat lanjut mengenai usaha ini akan diumumkan dalam bulan Julai 2023.
"Usaha berterusan untuk menggandakan kapasiti industri pertanian dan pemakanan yang melibatkan sektor awam, swasta dan orang ramai dari kalangan B40 dan miskin tegar ini dijangka memastikan bekalan
makanan yang mampan di masa akan datang," ujarnya.
Katanya lagi, peserta inisiatif itu akan menanam tanaman kontan yang mendapat permintaan tinggi seperti cili memandangkan kadar tuaiannya tidak mengambil masa terlalu lama.