Projek perintis INTAN bakal manfaatkan 240 peserta - Rafizi
Ridauddin Daud
Mac 21, 2023 15:08 MYT
Mac 21, 2023 15:08 MYT
PETALING JAYA: Pelancaran projek perintis Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah komponen Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) akan memanfaatkan 240 peserta menjelang tahun 2025.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, fasa pertama Projek IPR INTAN @ PJ City Food Valley itu dijalankan di tanah rentis Tenaga Nasional Berhad (TNB), sekali gus memanfaatkan tanah kosong di bawah pencawang elektrik.
Menurutnya, IPR menyasarkan 100,000 penerima pada tahun ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 30 peratus daripada pemohon mahu terlibat dalam komponen pertanian.
Justeru, Rafizi berkata ia bakal melibatkan jumlah tanah yang besar dan kementeriannya memerlukan kerjasama dari agensi kerajaan, kerajaan negeri dan agensi di bawah kerajaan negeri.
“Kita merancang ikut templat dan segala perancangan templat itu adalah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan agensi pelaksana supaya kita kurangkan risiko.
“Melalui cara itu, kita berharap dapat menaikkan dan besarkan skala itu dengan cepat dan juga kita boleh pastikan kelangsungan peserta-peserta supaya mereka tidak tercicir.
“Ini kerana bila kita dah sampai pada satu skala besar, contohnya sudah sampai kepada 20,000 hingga 30,000 ekar projek di seluruh Malaysia, barulah kita boleh bawa teknologi lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Lawatan Tapak IPR Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) @ PJ City Food Valley di sini pada Selasa.
Fasa pertama projek itu merangkumi tanah seluas 10 ekar, akan diusahakan dengan tanaman cili fertigasi oleh 40 peserta yang terdiri daripada penduduk Rumah Pangsa Pelangi Damansara.
Setiap peserta akan diberikan satu plot tanah dengan 1,000 polibeg cili lengkap dengan infrastruktur serta fertigasi yang membolehkan mereka mendapat pulangan bersih antara RM2,000 hingga RM2,500 selepas tanaman membuahkan hasil.
Tambah Rafizi, kerajaan, dengan kerjasama kerajaan negeri sedang usahakan inisiatif itu secara berperingkat untuk mencapai skala besar.
“Saya ingat kalau perkara ini berlaku di seluruh Malaysia, kita akan dapat rasakan perbezaan kerana di mana-mana pelosok kita pergi, kita tengok hijau dengan tanaman hasil daripada skala besar.
“Jadi boleh bayangkan itu (projek di PJ Food City Valley) baru satu ekar tapi kalau 20 ekar projek INTAN di PJ Food Valley City ini, dia akan ada kesan daripada segi pemandangan dan beri motivasi yang besar kepada orang ramai untuk turut serta,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 800 ekar tanah Kerajaan Persekutuan telah dikenal pasti untuk dimanfaatkan bagi tujuan pelaksanaan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN).
Rafizi Ramli, Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memberikan bantuan berbentuk penyediaan tapak, infrastruktur dan latihan pertanian bagi tempoh dua tahun.
Jelasnya, INTAN yang merupakan komponen pertama Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bertujuan untuk meningkatkan pendapatan miskin tegar dan B40 serta mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan bahan mentah.