Projek penyambungan jajaran LRT manfaat 2 juta pengguna

Harits Asyraf Hasnan
Jun 30, 2016 18:08 MYT
Pertambahan laluan sepanjang 35.1 kilometer menghubungkan LRT Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling memanfaatkan dua juta penduduk Lembah Klang khususnya di daerah Petaling. - Gambar fail
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan pembukaan penuh Projek Penyambungan Jajaran Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dan Ampang di Stesen Putra Heights di sini, hari ini.
Jelas Najib, pertambahan laluan sepanjang 35.1 kilometer menghubungkan LRT Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling memanfaatkan dua juta penduduk Lembah Klang khususnya di daerah Petaling.
Malah, jelas Najib projek tersebut turut meningkatkan taraf sosio-ekonomi negara yang dinilai melalui Kadar Pulangan Ekonomi Dalaman (EIRR).
"Pertambahan laluan ini bukan hanya memberi manfaat kepada dua juta pengguna, malah mampu meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk.
"Kita jelas kita memang mempunyai perancangan besar untuk membangunkan pengangkutan awam.
"Kita sedar nadi pertumbuhan negara adalah bandar utamanya sebab itu kita letakkan projek utama untuk menggalakkan org ramai menggunakan pengangkutan awam," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian laluan itu di Stesen Putra Heights di sini.
Jelas Najib, pentadbiran Perdana Menteri yang berkhidmat selama 22 tahun sebelum ini gagal untuk memberi tumpuan terhadap pengangkutan awam.
"Salah satu kelompongan yang berlaku dalam negara kita adalah masalah pengangkutan awam.
"Ini adalah kerana, pentadbir sebelum saya yang berkhidmat selama 22 tahun, tidak memberi tumpuan kepada pengangkutan awam," katanya.
Dimiliki Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA), projek membabitkan pembukaan 12 stesen baharu laluan Kelana Jaya dan 11 stesen laluan Ampang/Sri Petaling itu dijangka menyumbang tambahan 300,000 penumpang sehari.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; dan Pengerusi Kumpulan PRASARANA, Tan Sri Ismail Adam.
#EIRR #Kelana Jaya #LRT #Najib Razak #prasarana #Stesen Putra Heights
;