Projek penstabilan tebing Sungai Kelantan Kampung Pohon Celagi siap Disember
Bernama
November 1, 2022 18:56 MYT
November 1, 2022 18:56 MYT
KOTA BHARU: Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, dekat sini, dijangka siap sepenuhnya 12 Dis depan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata projek tersebut telah mencapai 96.8 peratus kemajuan fizikal pembaikan tebing dengan skop kerja merangkumi penambakan batu dan pasir, pembinaan rumah pam baharu, pembinaan tembok dan longkang baharu.
"Sebelum ini, tebing Sungai Kelantan runtuh sepanjang 100 meter sehingga menyebabkan beberapa rumah rosak teruk dan 15 keluarga terpaksa dipindahkan.
"Sekiranya tidak diperbaiki menjelang musim tengkujuh nanti, hakisan tebing dan banjir lebih teruk akan melanda banyak kawasan sekitar Pasir Mas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berharap projek itu berjalan lancar dan dapat disiapkan dengan baik demi kepentingan rakyat.
Runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi berlaku pada 17 Feb tahun lepas menyebabkan lima rumah musnah.
-- BERNAMA