Projek pemuliharaan muara Sungai Paka kini 85%, siap Mei 2022

Astro Awani
November 25, 2021 09:38 MYT
ZAINALFIKRY: Untuk projek ini, kita reka bentuk supaya tidak akan berlaku lagi hakisan, mendapan, sedimen di antara t-groyne, dan sekarang kita telah mencapai matlamat itu. -Astro AWANI
DUNGUN: Projek pemuliharaan muara Sungai Paka dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun depan.
Pengarah Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Zainalfikry Daud berkata projek bernilai RM132 juta yang bermula sejak 2019 itu kini telah mencapai 85 peratus.
Menurut Zainalfikry, projek berkenaan meliputi beberapa pembinaan seperti struktur pemecah ombak (breakwater) dan benteng pemecah ombak (t-groyne).
Selain itu, ia turut berfungsi untuk mengawal hakisan pantai, mendapan di muara serta mencegah banjir di kawasan berhampiran muara yang sering berlaku ketika pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.
"Untuk projek ini, kita reka bentuk supaya tidak akan berlaku lagi hakisan, mendapan, sedimen di antara t-groyne, dan sekarang kita telah mencapai matlamat itu," kata Zainalfikry.
Beliau berkata projek tersebut dijangka dapat menyelesaikan masalah dihadapi lebih 600 keluarga nelayan dan penduduk yang terjejas sejak 30 tahun lalu.
Dalam pada itu, Zainalfikry berkata, selain muara Sungai Paka, projek pemuliharaan turut melibatkan beberapa lagi kawasan pantai di negeri Terengganu yang terhakis teruk.
Antaranya, termasuklah Pantai Mengabang Telipot hingga ke Kampung Pagar Besi, Pantai Batu Rakit di Kuala Nerus dan beberapa lagi pantai di daerah Dungun dan Marang.
#Sungai Paka #Zainalfikry Daud #Projek pemuliharaan muara #struktur pemecah ombak
;