Projek pembinaan Pan Borneo di Sarawak tidak ditangguh
Rohana Wahed
September 7, 2018 16:51 MYT
September 7, 2018 16:51 MYT
Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen hari ini menyifatkan dakwaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak akan ditangguhkan adalah fitnah jahat pihak tidak bertanggungjawab.
Tegasnya, projek bernilai RM29 bilion sejauh 2,325 kilometer itu tetap akan berjalan seperti biasa dan dijadual siap pada tahun 2022.
“Sejurus mendapat maklumat tersebut, saya pantas menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan juga kesemua kontraktor yang terlibat untuk mendapatkan pengesahan berganda.
“Ternyata berita penangguhan projek yang diterbitkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina pada Selasa lalu tidak benar, sebaliknya merujuk kepada projek Pan Borneo di Sabah, yang lewat kerana terdapat sedikit keraguan dari segi kewangan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Sehingga Mei lalu, kira-kira 22 peratus pembinaan projek tersebut di Sarawak sudah siap dan dua peratus mendahului jadual asalnya.
Keadaan sebaliknya di Sabah apabila kerja-kerja pembinaan dikatakan ‘sangat lambat’ dan kelewatan berlaku antara satu peratus hingga 36 peratus, sehingga turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.