Projek pembinaan Hospital Petra Jaya disambung semula, dijangka dibuka 2024 - Khairy
Astro Awani
September 26, 2021 17:20 MYT
September 26, 2021 17:20 MYT
KUCHING: Projek pembinaan semula Hospital Petra Jaya yang terbengkalai selama tiga tahun kini disambung semula setelah kontraktor penyelamat dilantik untuk mengambil alih projek sakit itu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, projek tersebut sebelum ini terbengkalai beberapa kali akibat masalah daripada pihak kontraktor.
Namun ia dijangka akan mula beroperasi pada 2024 dengan kemampuan menempatkan 300 katil.
‘’Ya saya baru pergi ke tapak Hospital Petra Jaya dan kontraktor penyelamat telah dilantik dan mereka mula bekerja di tapak tersebut bermula Januari tahun ini dan dijangka akan beroperasi pada tahun 2024.
‘’Dia akan ambil masa sedikit kerana untuk tempoh masa beberapa bulan ini kontraktor baharu terpaksa keluarkan semua peralatan kontraktor lama dan bersihkan tapak tersebut.
‘’Malah ada kawasan tempat letak kereta bawah tanah yang dibanjiri dengan air dan ia terpaksa dikeluarkan. Jadi saya berharap dengan pelantikan kontraktor baharu ini, ia akan mampu disiapkan pada 2024,’’ katanya.
Khairy berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas berkunjung ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dalam lawatan kerjanya ke negeri ini pada Ahad.
Untuk rekod, pembinaan Hospital Petra Jaya mula dilaksanakan pada 30 Mei 2013 dan sepatutnya siap 30 Jun 2018.
Namun prestasi kemajuan projek yang tidak memuaskan oleh kontraktor dilantik menyebabkan Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia mengeluarkan notis penamatan perkhidmatan kontraktor tersebut.
[TERKINI] Sidang Media Menteri Kesihatan di Sarawak | 26 Sept 2021
#Hospital Petra Jaya
#projek terbengkalai di Sarawak
#COVID-19 di Sarawak
#Menteri Kesihatan di Kuching