Projek pembesaran LTAPP dijangka bermula suku ketiga 2024

Bernama
Mac 6, 2024 15:06 MYT
Chow berkata, pihaknya menyambut baik kelulusan Kabinet bagi projek itu dan MAHB akan melaksanakan proses tender untuk pelantikan kontraktor. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dijangka bermula suku ketiga tahun ini setelah selesai proses tender, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata pihaknya menyambut baik kelulusan Kabinet bagi projek itu dan MAHB akan melaksanakan proses tender untuk pelantikan kontraktor.
"Di peringkat ini, MAHB dengan kerajaan negeri akan meneruskan perbincangan mengenai pematuhan isu-isu teknikal dalam projek pembesaran LTAPP.
"Ia (perbincangan dan projek pembesaran LTAPP) boleh dijalankan serentak, kita akan uruskan dan bereskannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan Kongres Dunia Persatuan Pengiklanan Antarabangsa (IAA) ke-45 di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini hari ini.
Sebelum ini Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata projek pembesaran LTAPP yang menelan kos lebih RM1 bilion telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Loke berkata angka sebenar pembiayaan projek itu hanya dapat ditentukan selepas proses tender.
Menurut Chow pengerusi jawatankuasa bertanggungjawab untuk projek terbabit akan mengadakan sesi libat urus dengan MHAB berhubung perincian peruntukan tersebut.
Sementara itu kira-kira 1,000 peserta dari 30 negara menghadiri kongres tiga hari yang bermula hari ini dan juga kali pertama diadakan di Asia Tenggara.
-- BERNAMA
#projek pembesaran LTAPP #Chow Kon Yeow #Anthony Loke #2024
;