Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP di Pengkalan Chepa bermula April - Mustapa

Vivi Sumanti
Februari 27, 2021 17:51 MYT
Mustapa berkata kapasiti LTSIP pada masa kini cuma mampu menampung 1.5 juta penumpang sahaja dan ianya perlu dibesarkan dan dinaik taraf. - Gambar fail
JELI: Projek naik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, Kota Bharu akan bermula April depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan telah bersetuju melantik WCT Bhd. sebagai kontraktor projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP dengan kos sebanyak RM440 juta.
"Syarikat ini dijangka masuk tapak pada April 2021, mengikut perancangan projek ini akan siap pada pertengahan tahun 2024," katanya dalam satu kenyataan petang ini.
"LTSIP merupakan lapangan terbang domestik paling sibuk di negara ini yang mana pada tahun 2019, lapangan terbang berkenaan mengendalikan 1.8 juta penumpang," katanya lagi.
Mustapa berkata kapasiti LTSIP pada masa kini cuma mampu menampung 1.5 juta penumpang sahaja dan ianya perlu dibesarkan dan dinaik taraf bagi menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat.
Komponen utama projek ini melibatkan pembinaan bangunan terminal baharu yang berkonsepkan reka dan bina (design and build) dengan pengasingan balai ketibaan dan pelepasan.
"Projek berkenaan juga membabitkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat, jambatan udara (Aerobridge) akan ditambah kepada lima unit lagi menjadikan jumlah keseluruhannya lapan jambatan selepas ini," katanya.
Jalan keluar dan masuk ke lapangan terbang juga akan ditambahbaik dengan fokus meningkatkan lagi tahap keselesaan pengguna.
Projek lapangan terbang ini adalah salah satu projek terbesar di Kelantan. Projek ini akan meningkatkan hubungan di antara negeri ini dengan negeri-negeri lain di seluruh negara.
#Mustapa Mohamed #Kota Bharu #Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra #LTSIP #WCT Bhd #naik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang #Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ekonomi
;