Projek pembangunan di Pulau Tioman perlu kelulusan Jabatan Teknikal
Bernama
April 19, 2017 18:17 MYT
April 19, 2017 18:17 MYT
Semua projek pembangunan yang dirancang di Pulau Tioman perlu mendapat ulasan jabatan teknikal berkaitan, khususnya projek yang memberi impak kepada alam sekitar dan ekologi pulau peranginan itu.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata ia bertujuan memastikan keindahan semula jadi pulau itu terpelihara dan tidak memberi kesan negatif memandangkan Pulau Tioman telah digazetkan sebagai Pulau Taman Laut dan kawasan sensitif alam sekitar.
"Lembaga Pembangunan Tioman amat menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan semula jadi flora dan fauna di Pulau Tioman sejajar dengan visi menjadikannya sebagai destinasi pelancongan ekopelancongan unggul dengan persekitaran berkualiti tinggi melalui perimbangan pembangunan," katanya.
Adnan berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP-Mentakab) yang ingin tahu langkah memastikan keindahan terumbu karang Pulau Tioman terpelihara.
Beliau berkata Jabatan Taman Laut Malaysia juga bertanggungjawab untuk memberi perlindungan khas kepada flora dan fauna akuatik serta memberi perhatian utama kepada spesies flora dan fauna yang unik, sukar dijumpai atau terancam.
"Tugas lain ialah mengekalkan, meningkatkan produktiviti dan keadaan semula jadi ekosistem, mengawal selia aktiviti rekreasi dan aktiviti lain untuk mengelakkan berlaku kerosakan berterusan terhadap persekitaran marin yang tidak boleh dipulihkan," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Lau Lee (BN-Damak), Adnan menjelaskan terdapat 88 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Orang Asli (JKKKOA) di Pahang iaitu di Kuantan (5), Pekan (19), Rompin (14), Muadzam (7), Maran (5), Temerloh (6), Bera (6), Jerantut (4), Lipis (3), Raub (3), Bentong (13) dan Cameron Highlands (3).
Beliau juga memaklumkan tidak timbul pertindihan tugas antara JKKKOA dengan fungsi Tok Batin Orang Asli kerana bidang tugas mereka adalah berbeza yang mana Tok Batin berperanan sebagai ketua adat dan menjaga keharmonian masyarakat kampung.
"Tugas JKKKOA adalah merancang dan melaksanakan pelan tindakan pembangunan kampung ke arah mewujudkan kampung yang maju, menarik dan menguntungkan," katanya. -- BERNAMA