Projek pembajaan tepat dijangka tingkat hasil 20,000 hektar jelapang
Bernama
Ogos 16, 2024 11:10 MYT
Ogos 16, 2024 11:10 MYT
PUTRAJAYA: Pelaksanaan Projek Rintis Pembajaan Tepat di Jelapang Padi dijangka akan meningkatkan hasil meliputi 20,371 hektar kawasan penanaman padi terpilih di Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kelantan.
Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmod berkata, jangkaan itu dapat dicapai kerana pemilihan kawasan bagi projek tersebut dibuat berdasarkan maklumat dan data status kesuburan tanah yang dilaksanakan Jabatan Pertanian menerusi kaedah pemprofilan tanah.
Beliau berkata berdasarkan data berkenaan, perawatan tanah melalui pembajaan secara tepat dilakukan di kawasan terpilih untuk memastikan persekitaran terbaik bagi penanaman padi.
"Apa yang kita mahu lakukan ialah pembajaan tepat bermula dengan rawatan tanah untuk pastikan tahap pH tanah pada sekitar tahap lima dan ke atas sebelum tabur benih padi.
"Ini tidak pernah dibuat oleh petani-petani...ini penting sebab selagi kita tidak buat macam ini, selagi itulah kita hasil padi tidak boleh meningkat," katanya kepada pemberita dalam satu sesi penerangan khas di sini, semalam.
Azman berkata menerusi projek yang melibatkan 8,718 pesawah itu, kerajaan menyasarkan hasil padi di kawasan terlibat akan meningkat sebanyak dua tan per hektar dalam empat musim penanaman.
Beliau berkata projek itu akan dilaksanakan oleh pengilang dan penyedia perkhidmatan yang dilantik melalui proses perolehan terbuka dengan kos menabur baja ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Selain itu katanya pesawah yang terlibat akan turut menikmati lebih banyak manfaat daripada subsidi sedia ada.
"Bagi pesawah yang tidak terlibat dalam projek rintis ini, mereka akan kekal menerima pemberian input pertanian sedia ada di bawah subsidi dan insentif yang diberikan kerajaan sebelum ini," katanya.
Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi projek rintis tersebut melalui Belanjawan 2024 yang melibatkan pakej pembekalan, penghantaran dan perkhidmatan aplikasi secara terus untuk baja sebatian, baja bio serta baja organik.
Pada 17 Julai lepas, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan peruntukan itu melibatkan pakej pembekalan, penghantaran dan perkhidmatan aplikasi secara terus untuk baja sebatian, bio serta organik di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Terengganu serta Kelantan.
-- BERNAMA