Projek PEH bantu tangani peningkatan kos sara hidup

Bernama
Disember 8, 2022 17:52 MYT
Kerajaan negeri Perlis memperkenalkan Projek Pemacu Ekonomi Hidroponik (PEH) sebagai inisiatif menangani peningkatan kos sara hidup dalam kalangan rakyat terutama golongan B40 dan belia. - Foto Facebook Pejabat Menteri Besar Perlis
PADANG BESAR: Kerajaan negeri Perlis memperkenalkan Projek Pemacu Ekonomi Hidroponik (PEH) sebagai inisiatif menangani peningkatan kos sara hidup dalam kalangan rakyat terutama golongan B40 dan belia.
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata PEH merupakan pakej tanaman hidroponik menggunakan teknologi terkini yang lebih efisien, sistematik dan menguntungkan, disediakan kepada golongan sasar berkelayakan untuk memulakan projek tanaman sayuran di rumah.
Beliau yang menyeru golongan B40 dan belia untuk merebut peluang itu berkata projek tersebut juga bertujuan membantu mereka terlibat secara aktif dalam industri pertanian, selain sebagai langkah menjamin keperluan makanan pada masa hadapan.
"Para peserta juga dapat menuai hasil tanaman mereka untuk dimakan sendiri dan menjual lebihan hasil tanaman yang telah diusahakan sebagai sumber pendapatan sampingan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek PEH dan Projek Pertanian Bandar Kebuna (Kebun Ana) - Jimat Belanja Dapur (JBD) di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, di sini, hari ini.
Mohd Shukri berkata usaha itu dapat memupuk minat rakyat terhadap aktiviti pertanian dan beliau menggalakkan rakyat menanam sayur atau tanaman makanan di sekitar kediaman mereka bagi mengurangkan tanggungan kos sara hidup.
"Kerajaan mendengar keluh-kesah petani dan telah mengambil langkah sewajarnya untuk mencari jalan penyelesaian dalam membantu meningkatkan kembali taraf sosioekonomi masyarakat dan memastikan industri pertanian dapat menyokong agenda tersebut," katanya.
Katanya kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke arah memastikan pengeluaran bahan makanan mencukupi serta selamat.
-- BERNAMA
#golongan B40 #Peningkatan kos sara hidup #Perlis #Projek Pemacu Ekonomi Hidroponik
;