Projek Pan Borneo Sabah disambung, beri manfaat besar kepada rakyat
Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 8, 2020 13:39 MYT
November 8, 2020 13:39 MYT
KOTA KINABALU: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang akan disambung semula bakal menjadi pemangkin kepada kepesatan pembangunan industri di negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata ia turut mampu meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar di Sabah.
"Pembentangan Belanjawan yang telah diumumkan Jumaat lalu turut memberikan jaminan untuk menyambung semula pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
"Ini pastinya amat dialu-alukan saya percaya akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di Sabah secara mapan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, Kerajaan Persekutuan kini dilihat lebih prihatin apabila meletakkan kebajikan rakyat sebagai isi utama Belanjawan 2021.
"Selain itu peruntukan khusus sebanyak RM5.1 bilion untuk Sabah bagi membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan sudah tentu dapat penduduk luar bandar.
"Melalui peruntukan ini kita berharap pembangunan asas atau infrastruktur akan lebih dipertingkatkan di dipercepatkan."katanya.
Tambahnya pembangunan di Sabah akan lebih menyinar selepas ini kerana dalam pembentangan sama kerajaan telah mengumumkan penyambungan Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di bawah SOC.
Ini tegasnya akan lebih meyakinkan pelabur-pelabur asing untuk melabur di Sabah. Ini merupakan berita baik bari merangsang industri dan perdagangan di negeri itu.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021 kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 bilion bagi Projek Infrastruktur Pengangkutan yang melibatkan beberapa projek seperti Projek Lebuhraya Pan Borneo, Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru dan Landasan Berkembar Lembah Klang fasa pertama.
Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM780 juta bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi antaranya Pembangunan Infrastruktur dan Komponen
Projek Zon Pembangunan Khas di Baling dan Yan Kedah, projek infrastruktur di kawasan perindustrian Samalaju, Sarawak dan penyambungan Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di bawah SDC.