Projek Pan Borneo pemacu ekonomi Sabah
Ridzal Abdullah
April 24, 2016 15:41 MYT
April 24, 2016 15:41 MYT
Projek Pan Borneo akan menjadi pemacu ekonomi rakyat di Sabah dengan memainkan peranan menyokong pertumbuhan industri baru.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Lebuhraya Pan Borneo Sabah mampu membawa negeri itu ke peringkat lebih tinggi.
"Projek Lebuhraya Pan Borneo akan membawa Sabah ke peringkat yang lebih tinggi dari segi pembangunan sosio ekonomi. Impaknya juga adalah membawa pembangunan bersifat lonjakkan berganda untuk tempoh jangka panjang," katanya pada majlis Pelancaran Projek Pan Borneo di Papar.
Pada masa sama, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mampu mengubah landskap infrastruktur dan menjadi jaringan perhubungan antara bandar utama termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Kudat dan Tawau.
Leburaya Pan Borneo Sabah dilaksanakan melalui model Project Delivery Partner (PDP) yang dipersetujui tiga pihak iaitu kerajaan persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan pihak PDP.
Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo merupakan pelengkap usaha melengkapkan jaringan lebuhraya Sabah dan Sarawak dengan matlamat untuk pembinaan jalan raya lebih selamat dan selesa.
Majlis Pelancaran Projek Pan Borneo ini disaksikan secara langsung di beberapa daerah termasuk Tawau, Kudat, Keningau dan Sandakan.
Projek Pan Borneo bernilai RM12.86 bilion dijangka siap sebelum 31 Disember 2021.