Projek naik taraf sistem pengairan MADA mula tahun depan - Mohamad Sabu

Bernama
Oktober 19, 2023 13:04 MYT
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf sistem pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi menjayakan projek penanaman padi lima musim dalam dua tahun, dijangka bermula tahun depan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata antara inisiatif di bawah projek berskala besar itu ialah pembangunan dan penyelenggaraan 100 blok sistem pengairan tertier, projek pemulihan menyeluruh Empangan Pedu serta pembangunan dan penyelenggaraan skim pemindahan sumber air Jeniang fasa dua.
Beliau berkata projek dengan peruntukan RM3 bilion itu akan dilaksanakan dengan konsep kerjasama awam-swasta, melibatkan pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur penanaman padi di kawasan MADA dibiayai sepenuhnya terlebih dahulu oleh pihak swasta.
"Sehingga 30 Sept 2023, pelaksanaan inisiatif ini sedang dalam peringkat penilaian perolehan melalui kaedah permintaan untuk cadangan (RFP), yang diuruskan bersama di antara unit kerjasama awam-swasta, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, MADA dan jabatan-jabatan lain juga terlibat.
"Pembidaannya sedang berjalan sekarang yang akan dibayar semula oleh kerajaan kepada syarikat terlibat selepas projek siap," katanya pada sesi soal jawab di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu bilakah projek naik taraf pengairan itu akan disiapkan.
Selain itu, beliau turut menegaskan komitmen kementeriannya untuk terus memperkasa sistem pengairan bagi tanaman padi seluruh negara, terutamanya di Sabah dan Sarawak, bagi menjadikan kedua-dua negeri itu jelapang padi kedua negara.
"(ini) setelah kita lihat di negeri-negeri utara ini banjirnya berlaku serentak, selalunya pada bulan Disember dan Januari.
"Oleh itu usaha kita untuk mendapatkan peruntukan pada masa akan datang akan diteruskan," katanya.
-- BERNAMA
#sistem pengairan MADA #Dewan Rakyat #Mohamad Sabu #projek penanaman padi
;