Projek naik taraf infrastruktur KTM Berhad bermula Jumaat ini

Azyyati Ahmad
Mei 25, 2016 13:58 MYT
Projek tersebut juga turut menyebabkan semua operasi tren KTM akan mengalami gangguan dan perubahan jadual waktu perjalanan sehingga siap sepenuhnya pada November 2019. - Foto Fail
KTM Berhad melalui program transformasi KTMB akan menjalankan projek menaik taraf infrastruktur bagi Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) secara berperingkat bermula Jumaat ini.
Projek tersebut juga turut menyebabkan semua operasi tren KTM akan mengalami gangguan dan perubahan jadual waktu perjalanan sehingga siap sepenuhnya pada November 2019.
Perubahan jadual perjalanan itu meliputi perkhidmatan Intercity, Tren Elektrik (ETS) (hanya di Lembah Klang), Komuter dan KTM Kargo yang beroperasi di laluan berkenaan.
Menurut Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter, Azshidah Shah Shahari, pihak KTM sudah bersiap sedia untuk menghadapi apa jua masalah yang berlaku ketika projek naik taraf dilakukan.
“Satu landasan ditutup bagi memberi laluan kepada kerja menaik taraf dijalankan dan hanya satu landasan saja akan digunakan untuk laluan tren.
“Kami percaya tidak akan ada masalah yang timbul, namun pihak kami akan bersedia untuk apa-apa masalah di luar jangkaan yang kemungkinan berlaku,” katanya dalam sidang media projek KVDT di KL Sentral pada Rabu.
Projek ini adalah salah satu komitmen penting KTMB bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan dari 1,000 penumpang setiap jam kepada 6,000 penumpang setiap jam.
Projek selama empat tahun ini akan dilaksanakan secara empat fasa yang melibatkan laluan di antara Tanjung Malim - Rawang - Pelabuhan Klang.
Untuk perjalanan yang lebih lancar, pelanggan boleh merujuk jadual waktu operasi terkini di www.ktmb.com.my
#KTM #KTMB #KVDT #Landasan Berkembar Lembah Klang
;