'Projek My Malaysia' CelcomDigi, filem janaan AI bersumber ramai pertama negara

Israr Khalid
September 1, 2023 21:09 MYT
CelcomDigi mengorak cara baharu untuk rakyat Malaysia berhubung menggunakan teknologi terkini. - Gambar CelcomDigi
KUALA LUMPUR:
Dengan memanfaatkan teknologi terkini, CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menggemakan rasa harmoni dan hasrat hati rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan 'Projek My Malaysia'.
Ia merupakan filem bersumberkan orang ramai janaan kecerdasan buatan (AI) pertama di negara ini, dengan bangganya dibawakan oleh CelcomDigi dengan matlamat mengorak cara baharu untuk rakyat meluahkan apa makna ‘Malaysia’ buat mereka.
Cerita diraih daripada pelbagai latar belakang, bangsa, agama, budaya dari setiap lapisan masyarakat - kaya, miskin, tua, muda, penduduk kota, warga desa - untuk menghasilkan visi tentang Malaysia yang lebih baik bukan untuk diri mereka, tetapi buat keluarga, rakan taulan dan seluruh warga hari ini dan masa akan datang.
Menggunakan AI generatif, sejenis alat inovatif yang berupaya menghasilkan kandungan daripada teks, imej, atau video, ia dapat mencipta visual dan mengolahnya menjadi adegan-adegan filem yang menggambarkan Malaysia sepertimana yang dibayangkan dan diimpikan.
“Filem ini sesuatu yang amat bermakna bagi kami, selaras dengan tema ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ di mana kami bekerjasama dengan lebih 100 orang warga Malaysia dan mereka menterjemahkan aspirasi mereka menggunakan AI menjadi filem dan kami satukan semuanya, maka terhasillah ‘Projek My Malaysia’.
“Ini bukan idea CelcomDigi sahaja, tapi idea rakyat Malaysia dan dengan ini kami dapat menunjukkan bagaimana teknologi dapat bukan sahaja mengubah kehidupan kita di masa depan tetapi digunakan untuk menambah baik nilai artistik, juga menghasilkan segala yang kita impikan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi.
Jelasnya, 'Projek My Malaysia' secara halus mengangkat nuansa sosial harian yang rakyat Malaysia lalui dan alami tanpa mereka sedari, seperti tanggungjawab sivik, sikap hormat-menghormati dan saling menjaga kebajikan antara satu sama lain, juga kesedaran am sebagai seorang manusia bertamadun.
Selain itu, filem ini turut memberi penekanan terhadap isu-isu alam sekitar yang tak berkesudahan seperti pemeliharaan haiwan liar, pembalakan, pembuangan sampah merata-rata serta banyak lagi, yang dilihat sebagai perkara yang mencacatkan kesejahteraan hidup kita hari ini dan merosakkan warisan untuk anak cucu kita di masa depan.
Jelas Idham, kejayaan menghasilkan filem pertama seumpamanya itu adalah juga dimangkinkan oleh teknologi 5G yang tidak hanya memberikan ketersambungan yang lebih pantas, tetapi keupayaannya memproses data yang lebih besar dengan cepat.
“5G adalah masa depan rangkaian kita dan ini menjadi sesuatu yang akan mengubah cara kita berhubung antara satu sama lain.
“Apabila teknologi AI dan 5G digunakan sebaiknya, banyak lagi perkara yang dapat diperkenalkan nanti, tidak hanya untuk pengguna tetapi khususnya buat industri, sesuatu yang dapat mengubah bagaimana industri berkerja dan menjadi lebih produktif dalam ekonomi digital,” katanya.
Dipacu semangat penyatuan, CelcomDigi beraspirasi untuk menjadi organisasi teknologi telco terbaik dan terus berpegang teguh pada nilai teras maju bersama, dalam menjadi ejen penghubung dan pengerat silaturrahim dan keharmonian Malaysia - sepertimana yang dipaparkan dalam kempen Hari Raya dan perayaan Gawai dan Kaamatan tempoh hari.
Semangat peneraju ini akan terus menyalakan jiwa CelcomDigi untuk menghubungkan setiap individu dengan teknologi dan inovasi, menyambung jurang antara kita, dan memekarkan kesejahteraan hidup setiap insan di serata tanah air.
Menjadi peneraju dan penyedia rangkaian terbesar dan terluas di negara ini, CelcomDigi senantiasa menyokong inisiatif kerajaan untuk memberikan perkhidmatan tebaik kepada rakyat khususnya mereka yang memerlukan, selaras dengan komitmennya untuk terus menyambung dan mengeratkan hubungan antara individu.
Terbaharu, mereka turut bersama dalam menawarkan Pakej Rahmah pada harga serendah RM60 untuk 60GB data dan peranti mudah alih pada harga serendah RM190.
Buat anda yang berminat untuk menyampaikan cerita anda dengan platform generatif AI CelcomDigi, layari laman rasmi ‘Projek My Malaysia’ di https://projekmymalaysia.com.
Untuk lebih video berkenaan "Projek My Malaysia," tonton di saluran Youtube/CelcomDigi (https://youtube.com/playlist?list=PL1_MYeRHKAeMoJUePIlUyxP7WKhCC5B0R&si=CRr1Xt-TrRUhp41n)
Projek My Malaysia, terjemahan aspirasi rakyat dengan AI
#CelcomDigi #Projek My Malaysia #kecerdasan buatan #Malaysia Madani
;