Projek mega, isu setempat boleh jadi modal politik jika tidak ditangani - Penganalisis
Madiha Abdullah
Ogos 7, 2023 07:30 MYT
Ogos 7, 2023 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pembangunan projek mega seperti Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang akan dijadikan modal politik jika ia tidak ditangani secara berhemah oleh kerajaan negeri, khususnya ketika menjelang Pilihan Raya Negeri.
Timbalan Dekan dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Abdul Rais Abdul Latiff berkata, isu yang dibangkitkan oleh penduduk perlu diambil berat khususnya membabitkan kualiti hidup.
"Kalau mahu terjemah dalam konteks kesejahteraan rakyat, projek seperti ini akan mempengaruhi kawasan sekeliling.
"Isu yang dibangkitkan penduduk tempatan seperti ia akan ganggu spesis hidupan laut dan beri kesan kepada nelayan, ini kesan tambahan kerana ia boleh mengakibatkan mereka kena tukar gaya hidup.
"Kalau lihat dari sudut ekonomi, ia memberi sumbangan, kesan limpahan jika projek berjaya. Ia akan beri peluang pekerjaan, infrastruktur lebih baik.
"Namun di sebalik itu semua, kerajaan negeri harus fikir bagaimana nak pastikan rakyat bersedia menerima keadaan yang akan berlaku, apakah pelan tindakan yang disediakan boleh bagi mereka harapan, apakah dapat mereka teruskan kehidupan tanpa jejaskan kesejahteraan hidup.
"Isunya adalah bagaimana kerajaan ambil kira sentimen rakyat. Tak boleh kata mereka yang bekerja sebagai nelayan, untuk projek ini kita pindahkan mereka buat kerja lain," katanya ketika muncul dalam program Pantau Agenda Reformasi, pada Isnin.
Dengan hampir 48 peratus penumpuan ekonomi dan kependudukan di Pulau Pinang bertumpu di pulau, ia pasti akan mempengaruhi keadaan ekonomi semasa.
Abdul Rais berkata, jurang akan wujud terutama jika dilihat dari konsep kemiskinan bandar, namun beliau melihat pembangunan Seberang Perai Selatan dan Utara khususnya bagi hab perindustrian akan membawa peluang pekerjaan tersebar ke kawasan seberang pulau juga.