Projek mega di Sabah bukti kerajaan pusat prihatin - Musa

Bernama
Mac 4, 2017 16:58 MYT
MUSA: Pelbagai projek mega yang sedang dan akan dilaksanakan di Sabah adalah bukti kerajaan pusat prihatin dan tidak omong kosong. - Gambar fail
Pelbagai projek mega yang sedang dan akan dilaksanakan di Sabah adalah bukti kerajaan pusat prihatin dan tidak omong kosong dalam membawa pembangunan pesat ke negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata selain pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, jaringan jalan raya tanpa tol dari Sindumin hingga ke Tawau, pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) juga giat dilaksanakan.
"Semalam, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah merasmikan projek PPR di Batu Sapi, Sandakan dan semalam juga perdana menteri mengumumkan untuk memanjangkan landasan lapangan terbang Sandakan.
"Ini adalah bukti keprihatinan perdana menteri dan kerajaan Barisan Nasional kepada Sabah...bukan sahaja pembangunan Lebuhraya Pan Borneo tetapi juga pembangunan infrastruktur lain untuk keselesaan rakyat.
"Ini bukan omong (cakap) kosong tetapi ini benar," katanya berucap pada majlis pelancaran projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang disempurnakan Najib di Sindumin, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Menteri Infrastruktur negeri, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf dan timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Musa berkata projek-projek pembangunan infrastruktur untuk rakyat itu juga menepis dakwaan pihak pembangkang yang mengatakan Sabah dianaktirikan dan tiada apa-apa kemajuan mahupun pembangunan dibawa kerajaan ke Sabah.
"Itu semua (dakwaan pembangkang) adalah dusta. Tiada suku dipinggirkan atau dianaktirikan. Semua dibantu agar sama-sama menikmati pembangunan," katanya.
Dalam pada itu, Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, anggota parti komponen BN negeri akan terus memberi fokus pada landasan dan matlamat perjuangan untuk membangunkan Sabah dan rakyatnya.
"Kita (kerajaan BN Sabah) ada rekod yang baik dan kita juga terus memberi sokongan penuh serta tidak berbelah bahagi kepada perdana menteri untuk terus mentadbir dan merealisasikan TN50 (Transformasi Nasional 2050)," katanya.
Mengulas mengenai majlis itu, Musa positif projek Lebuhraya Pan Borneo yang bermula dari Sindumin itu akan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi negeri.
Projek menaik taraf Jalan Sindumin-Kampung Melalia, Sipitang sepanjang 28.4 kilometer merupakan sebahagian daripada fasa pertama projek lebuh raya itu, yang akan memudahkan akses ke kawasan koridor ekonomi berasaskan minyak dan gas yang menghala antara Sipitang dan Kimanis apabila siap kelak.
-- BERNAMA
#BN #Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin #Datuk Seri Fadillah Yusuf #Datuk Seri Musa Aman #PPR #TN50
;