Projek LRT3 siap lebih 33 peratus

Faris Danial Razi
Julai 18, 2020 05:40 MYT
Setakat 30 Jun 2020, perkembangan keseluruhan projek LRT3 adalah 33.12 peratus. -Foto Astro AWANI/Faris Danial Razi
Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), yang akan menghubungkan para penumpang dari Koridor Barat Lembah Klang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur kini sudah mencapai lebih 33 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 28 Februari 2024.
Menurut Pengerusi Kumpulan PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, setakat 30 Jun 2020, perkembangan keseluruhan projek LRT3 adalah 33.12 peratus.
LRT3 yang akan memanfaatkan lebih dua juta penduduk di kawasan-kawasan yang terbabit, bakal mengendalikan kira-kira 67,000 penumpang sehari pada peringkat permulaan sebelum terus bertambah khususnya dengan sistem rel urban ‘Greater Klang Valley’ siap sepenuhnya.
Ia merupakan projek pertama di Malaysia yang menggunakan blok ‘U-trough girder’ yang berukuran di antara 20 meter dan 30 meter seunit, dengan komponen pembinaan yang akan dipra-bina terlebih dahulu di sebuah fasiliti di Bandar Saujana Putra sebelum dibawa ke tapak pelancaran.
Jelas Tajuddin lagi, kaedah pembinaan itu dipilih kerana ia dapat menyumbang kepada kos yang lebih efisien, tempoh kerja pembinaan yang lebih cepat dan improvisasi terhadap impak visual.
“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya untuk Lebuh Raya Persekutuan Kuala Lumpur – Klang sekarang, penyambungan jajaran LRT3, yang berintegrasi dengan Laluan LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie, turut menjadi sandaran sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti niaga di kawasan berkenaan.
“Setakat ini, sejumlah 158 unit sudah dibina dengan 24 unit telah dilancarkan dan dipasang pada jajaran berkenaan, yang akan turut mempunyai 20 stesen di samping memperuntukkan lima kawasan stesen untuk pembangunan masa hadapan bila ada keperluan,” tambah beliau.
Secara keseluruhan, projek tersebut akan menggunakan sebanyak 2,060 unit ‘U-trough girder’ bagi melengkapkan jajaran berkenaan.
Dalam pada itu, dua lagi unit ‘U-trough girder’ dilancarkan pada tengah malam Sabtu di tapak pembinaan projek dekat Persiaran Kerjaya, Glenmarie, Shah Alam dengan disaksikan sendiri oleh Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman, yang diiringi oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Muhammad Nizam Alias dan Timbalan Ketua Projek, Tuan Haji Mohd Lokman Hamid.
Turut hadir adalah Pengerusi MRCBGK, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim; Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Encik Mohamad Imran Mohamad Salim; dan Pengarah Projek MRCBGK, Encik Patrick Hwang. MRGBGK adalah kontraktor utama untuk projek LRT3 ini.
#Koridor Barat Lembah Klang #Kumpulan PRASARANA #projek LRT3 #Tajuddin Abdul Rahman #Transit Aliran Ringan 3
;