Projek LRT Laluan Mutiara: 100 lot tanah akan diambil
Sinar Harian
Mac 12, 2025 16:00 MYT
Mac 12, 2025 16:00 MYT
Projek LRT Laluan Mutiara bernilai RM10.5 bilion telah diluluskan Kabinet dan dibiayai kerajaan Persekutuan pada Mac 2024 akan dibangunkan oleh MRTC sebagai pemaju projek serta pemilik aset. -Sinar Harian
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan mengambil alih kira-kira 100 lot tanah di sepanjang jajaran projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara termasuk tanah persendirian dan tanah kerajaan.
Ringkasan AI
- Projek LRT Laluan Mutiara bernilai RM10.5 bilion akan dibangunkan oleh MRTC dan melibatkan pengambilan kira-kira 100 lot tanah di Pulau Pinang.
- Pampasan kepada pemilik tanah masih belum ditetapkan dan proses ini dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan.
- Kerja fizikal projek LRT dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini, dengan tender untuk Pakej Tiga Projek LRT telah dibuka sejak Disember 2024.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan pengambilan tanah ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang pada Rabu.
Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian telah mencadangkan supaya tanah di sepanjang jajaran LRT itu diambil alih.
“Ini termasuk tanah milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), dan Majlis Agama negeri,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, pada Rabu.
Beliau menjelaskan bahawa sebarang struktur di atas beberapa lot tanah tersebut akan dirobohkan atau dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek berkenaan.
“Selepas kelulusan diberikan, lot yang terlibat akan diwartakan dan notis akan dikeluarkan kepada pemilik tanah.
“Ini melibatkan tanah di kedua-dua daerah Timur Laut dan Barat Daya di kawasan pulau,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pampasan kepada pemilik tanah, Kon Yeow berkata, jumlahnya masih belum ditetapkan kerana ia perlu dinilai oleh agensi berkaitan.
“Akan ada sesi pendengaran mengenai pampasan dengan pemilik tanah, dan proses ini dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum dimuktamadkan,” katanya.
Mengenai perkembangan projek LRT, Kon Yeow berkata, bengkel pengurusan nilai sedang dijalankan oleh Kementerian Ekonomi, MRT Corporation (MRTC), dan SRS Consortium bagi memuktamadkan reka bentuk serta kos projek.
“Pada penghujung bengkel iaitu Jumaat ini, lebih banyak perkara akan dimuktamadkan untuk dibuat keputusan,” katanya.
Beliau menambah bahawa beberapa proses sedang berjalan serentak kerana projek ini berskala besar, termasuk permohonan kebenaran merancang dan penambahan jajaran baharu dari Macallum ke Penang Sentral.
“Siasatan tanah juga sedang dijalankan di beberapa lokasi termasuk di Jelutong Timur dan Sungai Nibong,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, Tapak Pesta Pulau Pinang akan dibangunkan sebagai pembangunan berorientasikan transit (TOD) memandangkan terdapat kawasan tanah yang tersedia di lokasi tersebut.
“MRTC telah mencadangkan pembangunan di tapak ini bagi mengekalkan Tapak Pesta Pulau Pinang kerana ia sebahagian daripada warisan negeri.
"Namun, saiznya akan dikurangkan daripada 16 ekar kepada 13 ekar,” katanya.
Beliau menambah bahawa reka bentuknya masih belum diputuskan tetapi telah dipersetujui untuk menjadikannya pembangunan berorientasikan transit.
“Perancangan induk untuk tapak ini adalah hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan MRTC,” katanya.
Sementara itu, tender untuk Pakej Tiga Projek LRT, yang merangkumi kerja sistem, komunikasi, tren, tiket, dan landasan, telah dibuka sejak Disember 2024.
"Tender tersebut mendapat sambutan tinggi, menyebabkan tarikh tutupnya dilanjutkan sehingga 15 April," katanya.
Menurutnya, kerja fizikal bagi projek LRT dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.
“Sekarang, kita boleh menganggap kerja-kerja telah bermula kerana semua proses ini diperlukan sebelum kerja fizikal boleh dimulakan,” katanya.
Projek LRT Laluan Mutiara bernilai RM10.5 bilion, yang telah diluluskan Kabinet dan dibiayai kerajaan Persekutuan pada Mac 2024, akan dibangunkan oleh MRTC sebagai pemaju projek dan pemilik aset.
Projek ini merangkumi jajaran sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik, termasuk sebuah stesen sementara di Pulau A Tebus Guna Selatan Pulau Pinang. -Sinar Harian