Projek LRA Machang bukti kesungguhan kerajaan noktahkan masalah air Kelantan

Bernama
Oktober 18, 2023 11:00 MYT
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat lepas, mengumumkan peruntukan RM1.1 bilion disediakan bagi melaksana penyelesaian isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. - Gambar hiasan/BERNAMA
KOTA BHARU: Kesungguhan kerajaan dalam menoktahkan masalah bekalan air bersih di Kelantan dizahirkan dalam Belanjawan 2024 apabila turut menyenaraikan projek pembinaan loji rawatan air (LRA) di Machang.
Setiausaha Persatuan Alumni Siswazah Machang Mohd Amirul Mohd Zainuddin, 33, berkata kecaknaan kerajaan itu membuktikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengotakan janjinya sekali gus memberi khabar gembira kepada seluruh penduduk jajahan itu yang sekian lama berdepan masalah bekalan air bersih.
Beliau berkata inisiatif bakal dilaksana kerajaan itu sangat bertepatan dengan keperluan semasa dialami penduduk ketika ini.
"Sebelum ini, dalam beberapa siri lawatan Perdana Menteri ke Kelantan, banyak peruntukan tambahan diberikan dalam isu pembekalan air bersih.
"Peruntukan dalam belanjawan ini juga menunjukkan kerajaan meneruskan kesinambungan itu dan pastinya memberi manfaat yang sangat besar kepada kami," katanya kepada Bernama.
Menurut Mohd Amirul, anak muda di kawasan Machang mahu melihat perubahan dan pembangunan yang lebih baik untuk dinikmati oleh masyarakat terutama berkaitan penyediaan keperluan asas termasuk mendapat bekalan air bersih.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat lepas, mengumumkan peruntukan RM1.1 bilion disediakan bagi melaksana penyelesaian isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Di Kelantan, projek berkenaan melibatkan pembinaan LRA Machang Fasa 1 berkapasiti 250 juta liter sehari yang akan dilaksana bagi meningkatkan rizab bekalan air.
Sementara itu pemilik syarikat pengedar ais kiub di Machang, Muhammad Zafiruddin Riadi Aswin, 28, berkata dia berhasrat menyambung semula operasi memproses ais sendiri jika projek LRA itu mampu menyalurkan bekalan air bersih secara konsisten.
"Sebelum ini kami keluarkan sendiri ais kiub untuk jualan namun atas beberapa faktor termasuk bekalan air kurang bersih saya terpaksa menghentikan operasi.
"Untuk beberapa tahun kebelakangan ini saya mengambil keputusan hanya menjadi pengedar ais kiub dengan mengambil stok dari sebuah kilang di Kota Bharu," katanya.
Muhammad Zafiruddin berkata bekalan air bersih yang konsisten penting dalam perusahaan ais kiub bagi memastikan kos pengeluaran dapat dikurangkan sekali gus mampu menawarkan harga berpatutan kepada pengguna.
Penduduk Kampung Belukar Kubur dalam kawasan jajahan Machang, Mohd Syahir Aiman Zulaimin, 25, berkata penyediaan LRA Machang itu diharap dapat membekalkan air bersih yang konsisten kepada penduduk.
Beliau berkata sebahagian penduduk terpaksa mengeluarkan duit sendiri bagi menampung kos menyediakan penapis air selain membuat telaga tiub bagi mendapatkan air bersih untuk kegunaan harian terutama memasak.
"Kerap kali air dibekalkan keruh atau berkarat menyebabkan penduduk perlu mencari jalan penyelesaian. Harapnya dengan adanya loji ini masalah bekalan air bersih dapat ditangani," katanya.
-- BERNAMA
#loji rawatan air #Belanjawan 2024 #bekalan air #LRA Machang
;