Projek 'Legoland Untuk Danish' dapat sokongan Permaisuri Johor
Madiha Abdullah
September 26, 2016 11:43 MYT
September 26, 2016 11:43 MYT
PELBAGAI rawatan sudah dijalaninya. Namun, dia dan keluarga redha apabila diberitahu bahawa tiada lagi rawatan perubatan yang mampu diberikan untuk membantunya melawan penyakit yang dihidapi.
Wajah Mohd Danish Maarif yang tersenyum kini disebarkan pengguna laman sosial sebagai usaha sebuah kempen bagi memberikan keceriaan kepada si cilik yang sehingga kini masih tabah berjuang melawan penyakit kanser tulang.
Satu perkongsian yang dimulakan oleh Wan Shahriza Wan Ab Rahman, meminta agar orang ramai dapat membantunya dalam usaha 'membawa' Danish ke Legoland, seperti yang diingininya, kini meraih perhatian.
Namun untuk ke Legoland, adalah sedikit sukar kerana fizikal kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu yang terlalu lemah, tidak memungkinkan untuk dia dibawa dari Kuala Selangor ke Johor.
Justeru satu projek yang dinamakan 'Legoland Untuk Danish' dilancarkan Shahriza bersama beberapa orang sahabat untuk membawa segala elemen Legoland kepada Danish.
Orang ramai yang berkemampuan dan berkebolehan diminta tampil membawa binaan Lego untuk Danish, sebanyak yang mungkin.
Idea asalnya adalah untuk memberikan Danish 'rasa' seolah-olah berada di Legoland, tanpa perlu ke sana.
Usaha yang dilakukan Shahriza itu bukan sahaja mendapat perhatian netizen, malah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Baginda berkongsi status Shahriza ke akaun Facebook rasminya dengan hashtag #FightLikeJalil.
Beberapa status yang dimuat naik Shahriza memaklumkan, Danish dibenarkan keluar dari hospital tiga hari lalu untuk berehat. Rawatan kimoterapi telah dihentikan, pembedahan yang dijadualkan juga dibatalkan memandangkan sel kanser sudah merebak ke seluruh tubuhnya.
Lego-lego yang ingin disumbangkan boleh dihantar secara persendirian atau melalui pos ke alamat di bawah:
Wan Shahriza Wan Ab. Rahman
Maktab Rendah Sains Mara Kuantan
Jalan Tok Sira
25050 Kuantan
Tarikh akhir sumbangan ialah Khamis ini, 29 September.
Mereka yang mahu membantu dari segi kewangan pula bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik bapanya. Maklumat akaun adalah seperti berikut:
BSN 10128-29-86864085-4 (Maarif bin Sururi).