Projek Lebuhraya Pan Borneo beri manfaat jangka panjang kepada anak Sabah
Bernama
Disember 19, 2016 20:58 MYT
Disember 19, 2016 20:58 MYT
Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo akan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat tempatan di Sabah, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Musa berkata projek berkenaan juga akan memberi peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor kepada rakyat tempatan di negeri ini sama ada secara langsung atau tidak.
"Peluang pekerjaan ini termasuklah untuk kontraktor, konsultan, arkitek, jurutera, tenaga kepakaran, juruukur dan peluang-peluang pekerja kemahiran dan teknologi," katanya ketika berucap sempena pelancaran projek Lebuhraya Pan Borneo Jalan Pintas Lahad Datu, di sini hari ini.
Menurut Musa, projek berkenaan juga bukti komitmen kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membangunkan Sabah dan Najib sudah tiga kali melawat Sabah semata-mata untuk projek berkenaan.
"Inilah cara PM dan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengubah nasib rakyat menjadi lebih baik, mengubah landskap pembangunan menjadi lebih pesat, merubah kehidupan rakyat Sabah ke arah kebaikan dan merubah keadaan negeri Sabah ke arah kemajuan," katanya.
Menurut Musa, Sabah sudah meminta supaya lebuh raya dibina di Sabah sejak 30 tahun lalu namun tidak ada perdana menteri selain Najib yang berani melaksanakan projek mega berkenaan.
Mengenai Projek Lebuhraya Pan Borneo Jalan Pintas Lahad Datu sepanjang tujuh kilometer dengan kos pembinaan dianggarkan sebanyak RM165 juta yang merangkumi pembinaan dua persimpangan bertingkat itu, Musa berkata ia akan memberi keselesaan kepada rakyat dan kemajuan dalam aspek keselamatan khasnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Musa juga menegaskan bahawa kerajaan BN akan terus fokus dan meneruskan agenda pembangunannya untuk membela nasib rakyat agar kemajuan rakyat di Sabah sentiasa terjamin.
"(BN) bukan seperti tindakan pihak tertentu yang kononnya mahu merubah Sabah, kononnya mahu merubah keadaan rakyat. Tetapi yang nyata (pihak ini) merubah rakyat dengan emosi dan hasutan, merubah negeri Sabah lebih mundur ke belakang," katanya.
Menurut Musa, BN akan berusaha untuk perbanyakkan lagi pembangunan dan memperhebatkan lagi agenda membangunkan rakyat kerana menyedari masih banyak yang perlu dilaksanakan.
Musa turut memberi peringatan kepada rakyat Lahad Datu agar tidak percaya kepada pihak-pihak yang cuba untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
"Jangan percaya pada spekulasi, jangan percaya dengan adu domba, terperangkap dengan fitnah dan tertipu dengan slogan kosong penuh retorik kumpulan dan individu tertentu yang hanya mementingkan agenda peribadi," katanya. - BERNAMA