Projek lebar lebuh raya di Johor tidak ganggu aliran trafik

Bernama
Jun 20, 2024 04:30 MYT
Hasni menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengerusi Eksekutif PGB Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng dan Managing Director Country Head Wholesale Banking of UOB Malaysia Andy Cheah Shu Kheem (kanan) pada majlis di Johor Bahru semalam. --fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) daripada empat lorong kepada enam lorong antara Senai (Utara) ke Sedenak yang akan bermula hujung bulan ini tidak akan mengganggu aliran trafik.
Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Seri Hasni Mohammad berkata ini kerana dua lorong sedia ada di kedua-dua laluan lebuh raya tersebut masih dibuka kepada pengguna jalan raya walaupun projek naik taraf sedang dijalankan.
"Pembinaan bagi lorong ketiga ini antara cabarannya adalah untuk kenderaan berat. Ini kerana meskipun kita hendak mengekalkan dua lorong ini, jalan raya akan menjadi sedikit sempit.
"Bagaimanapun, lorong yang akan dibuka bukan melibatkan satu lorong, tetapi masih melibatkan kedua-dua lorong (bagi mengelakkan kesesakan)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Paragon Globe Berhad (PGB) dan UOB Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, beliau berkata LLM akan mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya dalam masa terdekat dengan fasa pertama dan kedua bagi pakej pertama projek pelebaran itu dijangka akan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan membabitkan kedua-dua hala.
Berhubung projek pelebaran Senai Desaru Expressway (SDE), Hasni berkata kerja-kerja menaik taraf bagi projek tersebut turut dijangka dimulakan pada hujung bulan ini.
"Tempoh masa pembinaan projek SDE ini selama 24 bulan. Lebuh raya tersebut daripada dua lorong dua hala akan dijadikan kepada empat lorong dua hala. Kita akan muktamadkan (lantikan kontraktor) dalam masa terdekat," kata bekas Menteri Besar Johor itu.
Pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong itu dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan melibatkan kos RM931 juta.
Setakat ini, laluan enam sehingga lapan lorong di Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan berakhir di Melaka.
-- BERNAMA
#Johor #aliran trafik #Hasni Mohammad #projek pelebaran Lebuhraya PLUS
;