Projek LCS: SPRM di peringkat akhir siasatan - Azam Baki

Sinar Harian
Ogos 6, 2022 16:39 MYT
Siasatan SPRM berhubung penyelewengan dalam perolehan lima buah kapal tempur pesisir (LCS) kini berada di peringkat terakhir. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dalam perolehan lima buah kapal tempur pesisir (LCS) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berada di peringkat terakhir.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun berkata, butiran terperinci berkaitan siasatan masih tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan maklumat sensitif dan rahsia.
"Siasatan berkenaan perkara itu memang sudah dijalankan sudah banyak tahun, sekarang saya tak nak umumkan lagi siasatan berada di peringkat mana dan apakah keputusannya demi menjaga sensitiviti.
"Ramai mempersoalkan seolah-olah kami (SPRM) tidak menjalankan siasatan, banyak kali saya kata SPRM sudah siasat dan dalam peringkat akhir penyiasatan. Banyak kali saya pernah sebut perkara ini.
Azam Baki bagaimanapun memberi jaminan bahawa penemuan siasatan terbabit akan diumumkan apabila tiba masa yang sesuai dalam masa terdekat.
"Sebelum itu, saya kena bincang perkara ini dengan pihak Jabatan Peguam Negara dan pihak-pihak yang terlibat barulah kita boleh buat kenyataan," katanya.


Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwarmenggesa pendakwaan berhubung kes perolehan tersebut supaya disegerakan.-- Sinar Harian

#LCS #Azam Baki #TLDM #SPRM
;