Projek LCS: Mahkamah perlu siasat keadaan mental bekas Pengarah BNS

Bernama
Julai 30, 2024 09:02 MYT
Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor perlu hadir pada 15 Ogos ini untuk mahkamah membuat arahan berhubung keadaan mental terkini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor perlu hadir pada 15 Ogos ini untuk mahkamah membuat arahan berhubung keadaan mental terkini bagi memastikan sama ada bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu sesuai dibicarakan atau tidak.
Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memaklumkan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Ahmad Ramli, 80, untuk membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi perolehan TLDM.
"Pada 26 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan tertuduh untuk membatalkan tiga pertuduhan dihadapinya, namun setakat hari ini pihak pendakwaan masih belum menerima penghakiman bersih berhubung keputusan itu.
"Saya percaya arahan Mahkamah Tinggi adalah untuk mahkamah ini (Mahkamah Sesyen) membuat siasatan terhadap kesihatan tertuduh," kata Nik Haslinie.
Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili Ahmad Ramli berkata memandangkan anak guamnya tidak hadir ke mahkamah pada hari ini, pihaknya memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan kes berkenaan.
"Pada masa sama, pihak pembelaan akan cuba mendapatkan laporan keadaan mental tertuduh yang terkini dan saya percaya mahkamah akan perlukan kehadirannya pada tarikh sebutan akan datang. Kami akan cuba pastikan beliau hadir," kata Mohd Yusof.
Selepas mendengar penerangan kedua-dua pihak, Hakim Suzana berkata mahkamah perlu terlebih dahulu memastikan sama ada tertuduh sesuai untuk dibicarakan dan Ahmad Ramli perlu hadir ke mahkamah untuk diberikan arahan lanjut berkenaan kesihatan mentalnya.
Pada 26 Julai lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan Ahmad Ramli untuk membatalkan tiga pertuduhan itu selepas mendapati isu kecergasan mental pemohon untuk dibicarakan dan membela diri (dalam kes dihadapinya) harus disiasat oleh hakim bicara serta mengembalikan kes itu ke Mahkamah Sesyen untuk hakim bicara membuat penilaian berhubung kecergasan mental tertuduh.
Ahmad Ramli menerusi peguamnya memfailkan notis usul pada April lepas untuk membatalkan ketiga-tiga pertuduhan dihadapinya dan memohon agar beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan berkenaan atas alasan adalah tidak adil beliau dibicarakan dalam keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.
Anak perempuan pemohon, Rinnie Nor Ahmad Ramli, 50, dalam afidavit sokongannya menyatakan bahawa setelah menjalani pemeriksaan perubatan, bapanya disahkan mengalami keadaan progressive neurodegenerative dan keadaan itu konsisten dengan moderate mixed dementia (nyanyuk).
Pada 16 Ogos 2022, Ahmad Ramli sebagai Pengarah Urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat didakwa melakukan pecah amanah terhadap harta terbabit dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan antara 26 Julai 2010 hingga 25 Mac 2011.
Beliau juga didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.
Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Ramli berdepan dakwaan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov 2010.
Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, hukuman sebat tidak boleh dikenakan terhadap pesalah perempuan dan lelaki yang berusia lebih 50 tahun.
-- BERNAMA
#Projek LCS #bekas Pengarah BNS #Ahmad Ramli Mohd Nor #keadaan mental