Projek LCS: Kementerian Pertahanan teliti laporan dan syor PAC - Hishammuddin

Astro Awani
Ogos 4, 2022 09:44 MYT
Hishammuddin Hussein berkata, beliau mengambil maklum laporan itu dan memberi kerjasama penuh, telus ketika menghadiri prosiding serta proses siasatan yang dilakukan PAC. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan dan semua pemegang taruh akan meneliti laporan Jawatakuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) secara terperinci dan mengambil kira syor yang dikemukakan dalam meneruskan projek Littoral Combatant Ship (LCS) selepas ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau mengambil maklum laporan itu dan memberi kerjasama penuh, telus ketika menghadiri prosiding serta proses siasatan yang dilakukan PAC.
"Seperti dimaklumkan pada April lalu, Kabinet juga sudah bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak pengilang peralatan asal (OEM) dan vendor seterusnya memuktamadkan perancangan ke hadapan perolehan LCS seperti yang dimahukan serta diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Kerajaan juga sudah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.
"Jawatankuasa ini ditugaskan memantau secara dekat terutama proses mobilisasi dalam tempoh enam bulan ini dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, berhubung kelemahan dan penyelewengan, Hishammuddin berkata, beliau konsisten menegaskan sesiapa yang bersalah tetap bersalah.
"Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berjalan dan ini bermakna pihak yang terbabit salah laku dalam projek sebelum ini tidak akan terlepas begitu saja.
"PAC sendiri mengesyorkan SPRM mempercepatkan siasatan dan menyegerakan pendakwaan. Siapa juga yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.
Justeru, beliau berkata, perkara paling penting sekarang ialah untuk memastikan projek LCS dapat diteruskan dengan lancar.
"LCS adalah aset yang amat diperlukan demi keselamatan perairan negara, sejajar dengan Program Transformasi Armada '15 to 5' dan demi kepentingan TLDM," katanya.
Sebelum ini, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek pembekalan LCS yang dibentangkan di Parlimen pada Khamis mendedahkan syarikat BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk projek tersebut.
TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pemerolehan LCS, yang menyebabkan syarikat itu menghadapi cost overrun sebanyak RM1.4005 bilion.
#Hishammuddin Hussein #Kementerian Pertahanan #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #Dewan Rakyat