Projek LCS: Bekas Pengarah Urusan BNS lepas tanpa bebas tuduhan pecah amanah RM21 juta
Bernama
Mac 12, 2025 15:30 MYT
Mac 12, 2025 15:30 MYT
Ahmad Ramli didakwa meluluskan pembayaran tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS, melibatkan tiga transaksi berjumlah RM21.08 juta antara 2010 dan 2011. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas tanpa membebaskan bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, daripada tiga pertuduhan pecah amanah berhubung dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ringkasan AI
- Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor daripada tiga pertuduhan pecah amanah berhubung dana RM21.08 juta kerana keadaan mentalnya tidak sesuai untuk dibicarakan.
- Keputusan ini dibuat berdasarkan laporan pakar psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mendapati Ahmad Ramli tidak mampu mempertahankan dirinya.
- Ahmad Ramli didakwa meluluskan pembayaran tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS, melibatkan tiga transaksi berjumlah RM21.08 juta antara 2010 dan 2011.
Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden supaya Ahmad Ramli, 81, yang juga bekas Panglima Tentera Laut dilepas tanpa dibebaskan, susulan keputusan laporan pakar psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengenai keadaan mentalnya yang didapati tidak sesuai untuk dibicarakan.
"Mengambil kira hujahan pihak-pihak dan laporan perubatan ke atas keadaan mental tertuduh oleh HKL, penilaian menepati kapasiti bahawa tertuduh tidak sesuai untuk dibicarakan.
"Oleh itu, tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada kesemua pertuduhan," kata Suzana semasa sebutan kes itu hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi yang dikemukakan Ahmad Ramli pada 10 Jan, telah ditolak dan pihak pendakwaan bersedia untuk meneruskan kes dengan perbicaraan.
Bagaimanapun, Mohd Yusof memaklumkan pada 5 Dis tahun lepas mahkamah telah diberitahu mengenai siasatan dan laporan perubatan yang dikemukakan HKL, yang mendapati Ahmad Ramli tidak sesuai untuk dibicarakan kerana beliau tidak mampu untuk mempertahankan dirinya.
Mahadi berkata pihak pendakwaan mengambil maklum perkara itu dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.
Pada 16 Ogos 2022, Ahmad Ramli sebagai Pengarah Urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat, didakwa melakukan pecah amanah terhadap harta terbabit dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan antara 26 Julai 2010 hingga 25 Mac 2011.
Beliau juga didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.
Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Ramli berdepan dakwaan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov 2010.
Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, hukuman sebat tidak boleh dikenakan terhadap pesalah perempuan dan lelaki yang berusia lebih 50 tahun.
-- BERNAMA
#bekas Pengarah Urusan BNS
#Projek LCS
#lepas tanpa bebas
#Ahmad Ramli Mohd Nor
#pecah amanah
#terkini