Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim perlu diberi perhatian adil - Sultan Kedah
Abd Hadi Che Awang
Jun 18, 2023 13:10 MYT
Jun 18, 2023 13:10 MYT
ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sekali lagi menyeru agar projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi sebahagian daripada Kedah Aerotropolis diberi layanan dan perhatian yang adil dan sewajarnya.
Titah baginda, ia adalah bagi memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan demi kebaikan negeri, negara dan rakyat.
Menurut baginda, dalam terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kini sedang bertumbuh pesat, wujud keperluan yang mendesak untuk memperkasakan jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan negeri.
Hal ini kerana, apabila pengeluaran dalam negeri dan wilayah bertambah, kapasiti semasa jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan negeri pasti tidak akan mencukupi.
"Oleh yang demikian, adalah amat mustahak bagi Negeri Kedah untuk memiliki sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa berasaskan kargo bagi memudahkan pergerakan keluar masuk barangan dan ekport ke luar negeri.
"Perancangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di dalam kerangka pembangunan Kedah Aerotropolis akan memenuhi kehendak tersebut dan bertindak sebagai “game changer” yang akan mengubah landskap ekonomi ke tahap yang lebih ampuh," titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika berucap bersempena Hari Keputeraan baginda yang ke-81 di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada Ahad.
Baginda turut berpendapat bahawa hasrat ini akan dapat disegerakan sekiranya kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dapat bekerjasama selain pucuk pimpinan mampu mengenepikan perasaan peribadi dalam mentadbir hal ehwal berkaitan pembangunan.
Baginda menambah, amatlah rugi sekiranya projek pembangunan ini tidak dilaksanakan hanya disebabkan oleh perbezaan pandangan dan pemahaman politik antara pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dan Persekutuan sehingga membelakangkan keperluan negeri dan negara yang jauh lebih mustahak.