Projek landasan berkembar Gemas-Johor akan diteruskan - Najib
Bernama
Mac 6, 2016 14:42 MYT
Mac 6, 2016 14:42 MYT
Kerajaan pusat akan meneruskan Projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru, kata Perdana Menteri hari ini.
"Sukacita saya mengesahkan kerajaan pusat akan meneruskan projek ini sebagaimana yang telah dibentangkan dalam Bajet 2016 baru-baru ini," kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada perasmian pembangunan hartanah Forest City di sini.
Projek pembangunan hartanah itu dilancarkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Tahun lepas, kerajaan mengumumkan Malaysia meluluskan projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Baru (EDTP) itu kepada China Railway.
Landasan itu akan melengkapkan rangkaian landasan berkembar elektrik sehingga ke Padang Besar (Perlis).
Pada masa ini rangkaian kereta api di Malaysia sepanjang 1,641.4 kilometer, dengan 46 peratus membabitkan trek berkembar elektrik.
Penyiapan EDTP Gemas-JB pada 2020 akan meningkatkan rangkaian kereta api elektrik kepada 58 peratus, katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata pelan-pelan pembangunan yang giat dijalankan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor dalam menjayakan pembangunan inklusif, tentunya merangsang pembangunan ekonomi negeri dengan lebih pesat lagi.
Malah, tahun ini menyaksikan Johor terus bergerak maju menjadi satu lagi hab ekonomi terpenting selepas Lembah Klang, terutama kerancakan dalam sektor terpilih seperti petroleum dan gas di Pengerang, katanya.
Najib berkata Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang atau PIPC, dengan pelaburan fasa pertama melibatkan pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang oleh PETRONAS, bernilai US$27 bilion, serta Pembangunan Terminal Laut Dalam Pengerang oleh kumpulan Dialog-Royal Vopak-State Secretary Johor (Incorporated) bernilai RM9 bilion, berjalan seperti yang kita rencanakan, sekali pun ekonomi dunia hari ini tidak menentu.