Projek landasan berkembar elektrik mampu jadi pemangkin pembangunan di Tampin

Bernama
Februari 3, 2020 04:29 MYT
Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) dijangka siap menjelang Oktober 2021. Gambar BERNAMA
Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) yang dijangka siap menjelang Oktober 2021, mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi penduduk di daerah Tampin dan kawasan sekitarnya.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata infrastruktur awam darat ini secara tidak langsung akan meningkatkan kesejahteraan ekonomi serta sosial selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk masyarakat setempat.
"Projek bernilai RM8.9 bilion di bawah Kementerian Pengangkutan yang diterajui oleh Anthony Loke Siew Fook, yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Ahli Dewan Undangan Negeri Chennah ini bakal menyaksikan landasan Gemas menghubungkan bandar Segamat, Kluang, Labis, Bekok, Paloh, Renggam, Layang-Layang, Mengkibol, Kulai dan Kempas Baru.
"Jadi, sama-sama kita doakan semuanya berjalan dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2020 di sini, pada Isnin.
Katanya, berdasarkan statistik taburan penduduk Negeri Sembilan tahun 2018 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menunjukkan kepadatan penduduk sekitar Tampin sebanyak 95,000 orang.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina seperti ini, yang disambut setiap tahun, akan menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dan penerimaan masyarakat berbilang kaum di Negeri Sembilan.
"Perbezaan dalam kepelbagaian budaya itu menjadikan perpaduan masyarakat negeri ini lebih utuh dan mengenali antara satu sama lain.
"Saya yakin semangat dan warna 'ong' merah tahun ini akan terus menyemarakkan nilai-nilai murni yang mengukuhkan hubungan dan penyatuan masyarakat di negeri ini," katanya.
Beliau berkata perpaduan adalah penting bagi membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan pembangunan negeri dengan teratur dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dari segi kestabilan politik, ekonomi dan sosial khususnya di kawasan luar bandar.
Pada majlis itu, kira-kira 2,000 pengunjung terdiri pelbagai bangsa menghadiri majlis itu yang turut disertakan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, persembahan bunga api selain disajikan pelbagai juadah lazat.
-- BERNAMA
#Menteri Besar #Negeri Sembilan #perpaduan #Seremban #Tahun Baru Cina
;