"Projek ladang hutan bukan perkara haram, ikut peraturan" - MB Perak
Amirrul Rabbani
Januari 25, 2023 18:49 MYT
Januari 25, 2023 18:49 MYT
IPOH: Kerajaan Perak menjelaskan tiada sebarang aktiviti penebangan yang dijalankan di atas tanah seluas kira-kira 32,000 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong di daerah Kuala Kangsar setakat ini.
Sebaliknya, menurut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, cadangan bagi projek ladang hutan itu masih berada di peringkat sesi pendengaran awam sebelum melalui proses laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, kelulusan projek berkenaan bukan dibuat ketika di bawah pentadbiran beliau, sebaliknya, telah melalui beberapa fasa selepas diluluskan di peringkat Persekutuan pada 2012.
“Ini bukan perkara haram, sebaliknya ia dibuat mengikut peraturan. Walau bagaimanapun ia bukan dibuat pada zaman saya menjadi Menteri Besar, tetapi telah diluluskan sebelum ini lagi.
“Berdasarkan maklumat, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dahulu pada awalnya meluluskan (permohonan) tanah seluas 100,000 hektar untuk projek ladang hutan di Perak.
“Namun ketika itu, kerajaan negeri membuat keputusan mengurangkan keluasan itu kepada 75,000 hektar dan kemudian 35,000 hektar dan akhirnya 32,000 hektar sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cinta anjuran Dewan Perhimpunan Cina di Hotel Kinta Riverfront, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Presiden Dewan Perhimpunan Cina Perak, Datuk Kwan Foh Kwai.
Saarani sebelum itu diminta mengulas berkenaan kenyataan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang mendakwa, kerajaan negeri sedang merancang untuk membuat kerja-kerja penebangan hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong.
Beliau mendakwa, projek ladang hutan itu membabitkan empat syarikat swasta yang akan menjalankan projek penanaman ladang kayu hutan.
Laporan media sebelum ini menyebut sebahagian besar keadaan Hutan Simpan Kledang Saiong yang terletak antara Kuala Kangsar dan Ipoh dijangka berubah 'wajah' apabila rancangan ladang kayu hutan itu bermula dijangka tahun ini.
Dalam pada itu, Saarani berkata, walaupun ia telah diluluskan kerajaan negeri namun pelaksanaan projek berkenaan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurut Menteri Besar, syarikat yang diberikan kelulusan tidak menjalankan projek tersebut secara sewenang-wenangnya, sebaliknya, segala perancangan dan perjalanannya sentiasa dipantau JAS dan Jabatan Perhutanan Negeri.
“(Sekiranya ia diluluskan EIA) tidak boleh ditebang pokok-pokok di situ secara meluas sekali gus kerana dikhuatiri akan mengakibatkan banjir.
“Sebaliknya, ia dijalankan secara berperingkat yang mana kerja-kerja penebangan itu kelak akan dijalankan mengikut petak dengan keluasan tertentu.
“Maknanya, pokok-pokok dalam satu petak itu akan ditebang sehingga selesai. Dan selepas penebangan di petak seterusnya, kerja-kerja penamaan pokok semula akan dilaksanakan pada petak pertama tadi,” jelasnya.
Difahamkan Zon Pembangunan Ladang Hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong itu memenuhi kriteria yang digariskan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung yang dikeluarkan pada tahun 2010.