Projek KSSA tetap diteruskan tapi tidak secara tergesa-gesa - MB Selangor
Bernama
Mei 18, 2023 20:21 MYT
Mei 18, 2023 20:21 MYT
SHAH ALAM: Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) akan dilaksanakan mengikut prosedur dan tidak secara tergesa-gesa bagi mengelak sebarang pertikaian walaupun Selangor akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan sesuai dengan hasrat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan penyokong bola sepak Selangor, projek KSSA akan tetap diteruskan walau apa pun yang terjadi.
"Apa-apa yang terjadi ia (pembangunan) akan diteruskan kerana ia bukan hasrat saya tapi hasrat penyokong (bola sepak) Selangor, tidak ketinggalan Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor. Saya berharap projek ini dapat dijalankan seperti amanah yang telah ditetapkan," katanya ketika diminta mengulas mengenai pembinaan KSSA sama ada akan dilakukan sebelum atau selepas PRN.
Terdahulu, Amirudin menghadiri Rumah Terbuka Semarakkan Syawal 2023 Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) di Pusat Konvesyen Setia City di sini yang dihadiri sekitar 1,000 pihak berkepentingan.
Mengulas lanjut status terkini projek itu, Amirudin berkata pihaknya kini masih di peringkat akhir perbincangan tentang status nilai serta saiz pertukaran tanah dan belum dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Sebelum ini, Sultan Selangor pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 bertitah agar proses pembinaan KSSA dapat dilaksanakan dengan segera secara teratur dan telus, menepati masa, kos serta kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat sewajarnya kepada rakyat.
-- BERNAMA