Projek kerajaan: CEO syarikat swasta ditahan jadi orang tengah dana RM92.5 bilion
Umavathi Ramayah
Januari 6, 2023 16:17 MYT
Januari 6, 2023 16:17 MYT
PUTRAJAYA: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta ditahan reman lima hari sehingga Selasa depan kerana disyaki menjadi orang tengah bagi pengagihan projek-projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi, melibatkan dana RM92.5 bilion.
Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini, pada Jumaat.
Menurut sumber, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes itu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini malam Khamis.
SPRM sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan yang difokuskan kepada dana kerajaan berjumlah RM92.5 bilion di bawah program rangsangan dan pemulihan ekonomi.
Sumber itu berkata, SPRM membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang kepada beberapa syarikat untuk memperolehi projek-projek bernilai antara RM50 juta dan RM500 juta secara runding terus.
“Hampir 90 peratus daripada projek yang diberikan adalah secara rundingan terus dan masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.
"Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10 peratus projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10 peratus hingga 20 peratus," katanya, di sini, pada Jumaat.
Menurut sumber lagi, suspek yang ditahan itu dipercayai telah menerima rasuah bagi menghubungkan antara kontraktor-kontraktor dan pihak atasan.
Berdasarkan keterangan beberapa kontraktor yang disoal siasat, mereka mengaku membayar komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus.
Menurut sumber, wang itu dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi di sini, pada Jumaat mengesahkan penahanan tersebut.
Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.