Projek jangka pendek, penyelenggaraan kolam takungan antara kesiapsiagaan hadapi monsun

Fareez Azman
Oktober 18, 2023 15:45 MYT
Nik Nazmi mendengar penjelasan sewaktu melawat Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang di ibu negara pada Rabu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bersiap sedia menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka dalam masa terdekat.
Menurut Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, beberapa kesiapsiagaan dijalankan termasuk projek jangka pendek dan penyelenggaraan sampah di kolam takungan banjir di Selangor dan Kuala Lumpur.
"Projek-projek kecil untuk persediaan berdepan dengan Monsun Timur Laut, sebab untuk projek kecil kecemasan kita belanja RM2.2 juta di Kuala Lumpur sahaja.
"Ada yang (ambil masa) dua bulan atau sebulan (untuk siap), kita buat projek singkat untuk berdepan banjir selain projek tebatan banjir bernilai beratus juta ringgit itu ambil masa bertahun," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang di ibu negara pada Rabu.
Ujar Nik Nazmi lagi, di Rantau, Negeri Sembilan juga terdapat projek RTB dibuat bagi mengelak daripada kejadian banjir di kawasan itu.
Manakala di Seri Kembangan, sebuah kolam takungan air juga dibina bagi menampung kapasiti air sekiranya hujan lebat berterusan melanda kawasan itu.
"Ada hakisan berlaku di kawasan perumahan (Rantau), kita dah menaik taraf tebing di kawasan Rantau, Negeri Sembilan. Di Seri Kembangan, kita ada projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), dan projek jangka pendek akan dibuat kolam takungan.
"Sebab kawasan itu rendah apabila hujan lebat ia tak dapat menampung dan melimpah. Jadi dah dibuat kolam takungan untuk akses air," katanya lagi.
Penyelenggaraan kolam takungan
Di samping pembinaan RTB, jelas Nik Nazmi lagi, penyelengaraan beberapa kolam takungan di ibu negara juga antara diberi perhatian.
"Komponen pengurusan banjir Kuala Lumpur telah dibahagikan kepada tiga pakej utama berdasarkan Master Plan Tebatan Banjir Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
"Pakej A merupakan Projek Pengurusan Air Ribut Terowong SMART, Pakej B merupakan Pengurusan Air Ribut di Lencongan Gombak dan Lencongan Keroh dan Pakej C merupakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bunus," katanya.
Isu sampah
Mengulas lanjut ujar Nik Nazmi, selain kapasiti air hujan yang mendadak akibat monsun, isu sampah sarap yang dibuang merata-rata juga punca utama banjir.
"Tapi yang kita tengok hari ini soal penyelenggaraan sisa, plastik masalah utama ia berkait rapat dengan Pasar Selayang.
"Sebab itu kita dapat bau ikan, ini bukan ikan kolam ini tapi daripada pasar, dengan styrofoam, botol plastik yang sangat banyak. Itu telah menyebabkan ia terus terkumpul, kalau sampah lain ia mudah biodegradasi," katanya.
Mengikut rekod, sebanyak 37 tan sampah dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kolam takungan banjir di Lembah Klang pada tahun 2021.
Bagaimanapun, pada tahun 2022, jumlah sebanyak 36 tan dan sehingga Oktober tahun ini sebanyak 23 tan sampah berjaya dikutip.
"Peruntukan hampir RM 1 juta, ini satu kos besar saya fikir kita kena tengok satu melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kedua kena ada kesedaran pihak awam," ujarnya lagi.
#monsun timur laut #Nik Nazmi Nik Ahmad #banjir #NRECC
;