Projek Jana Wibawa: Permohonan Wan Saiful dapatkan penyata bank syarikat didengar 18 April
Bernama
Februari 24, 2025 14:35 MYT
Februari 24, 2025 14:35 MYT
Bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan hadir di Mahkamah Sesyen hari ini, berhubung kes pengubahan wang haram dan rasuah projek Jana Wibawa yang dihadapinya. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 18 April untuk mendengar permohonan Datuk Wan Saiful Wan Jan bagi mendapatkan penyata bank sebuah syarikat berhubung kes pengubahan wang haram dan rasuah projek Jana Wibawa yang dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersatu itu.
Hakim Rosli Ahmad turut menetapkan 10 Mac untuk pihak terlibat memfailkan afidavit dan 24 Mac bagi pemfailan hujahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Dr Ifa Sirrhu Samsudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik permohonan untuk mengetepikan nama dua responden iaitu Eksekutif Maybank Cawangan Taman Tun Dr Ismail Raja Muhammad Aiman Raja Sa'adi yang juga saksi pendakwaan ke-15 dan Maybank Islamic Berhad, dalam permohonan Wan Saiful itu.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful tidak membantah permohonan pendakwaan dan mahkamah kemudiannya membatalkan permohonan tersebut.
Sementara itu, mahkamah menetapkan esok untuk menyambung perbicaraan kes pengubahan wang haram dan rasuah dihadapi Wan Saiful.
Pada 16 Jan, Wan Saiful yang memfailkan permohonan itu dengan menamakan pendakwa raya Raja Muhammad Aiman dan Maybank Islamic Berhad, memohon mahkamah mengeluarkan perintah kepada ketiga-tiga responden untuk memberi tiga penyata bank Maybank atas nama Nepturis Sdn Bhd bagi tempoh Januari 2021 hingga Disember 2023 kepada pemohon, sama ada dalam bentuk fizikal atau peranti storan digital.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menerusi afidavit sokongannya berkata Raja Muhammad Aiman yang telah dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan hal ehwal akaun bank milik Nepturis di mahkamah belum dilepaskan, kerana pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan terhadapnya masih belum selesai.
Menurut Wan Saiful, semasa Raja Muhammad Aiman memberi keterangan di mahkamah pada 19 dan 20 Sept 2024, beliau telah merujuk dan mengesahkan beberapa dokumen antaranya penyata bank Maybank atas nama Nepturis, namun penyata bank yang diberikan kepada pihak pembelaan hanya daripada Julai 2022 hingga Disember 2022 dan Januari 2023 hingga Jun 2023.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu kerana tiga penyata bank akaun milik Nepturis Sdn Bhd yang dipohon Wan Saiful bukan satu keperluan.
Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima (SST) bagi projek terbabit.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022.
-- BERNAMA