Projek Jana Wibawa: Bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah ditahan SPRM
Bernama
Mac 18, 2023 16:30 MYT
Mac 18, 2023 16:30 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah, kerana disyaki bersubahat meminta wang suapan berjumlah kira-kira RM2 juta, bagi membantu menyelesaikan kes siasatan SPRM terhadap seorang ahli perniagaan yang dituduh berkaitan projek Jana Wibawa.
Sumber berkata suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu, dipercayai meminta suapan tersebut sebagai balasan antaranya untuk meminta pihak SPRM menukar keterangan tertuduh kepada saksi, dan menukar pertuduhan rasuah kepada pertuduhan alternatif.
Beliau berkata suspek ditahan kira-kira 9.30 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.
"Suspek pernah bertugas sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah di Putrajaya, sebelum bersara pada Disember 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut sumber, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan individu tersebut direman tiga hari bermula hari ini sehingga Isnin, selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA